WCW gesa tubuh jawatankuasa khas siasat kecurangan di MOF

WCW gesa Perdana Menteri tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk kumpul dan kaji kecurangan yang berlaku di Kementerian Kewangan. Gambar kecil: Jais
WCW gesa Perdana Menteri tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk kumpul dan kaji kecurangan yang berlaku di Kementerian Kewangan. Gambar kecil: Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (WCW) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengumpul dan mengkaji kecurangan yang dianggap berlaku secara keterlaluan di Kementerian Kewangan (MOF).

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, penubuhan jawatankuasa itu dilihat perlu sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan penyiasatan.

"SPRM mengalami kekangan pegawai dan jumlah kes rasuah yang meningkat juga menyukarkan untuk pegawai SPRM menyemak dengan terperinci setiap perancangan, peruntukan, perolehan atau tender yang diluluskan MOF.

"Oleh demikian satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk membuat dapatan apa yang sedang terjadi dalam MOF dan mencari langkah untuk ketirisan ini dihentikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Anwar pada Khamis bahawa terdapat banyak kecurangan yang dianggap keterlaluan di MOF.

Menteri Kewangan itu berkata, kecurangan berkenaan dilihat ketika beliau menyemak fail-fail di kementerian terbabit.

Jais menjelaskan, untuk SPRM 'menyerbu' keseluruhan MOF, ia sudah tentu amat sukar kerana kementerian tersebut besar dan tindakan sedemikian seperti 'mencari jarum di padang rumput' sahaja.

"Oleh itu, dengan kewujudan jawatankuasa khas nanti, pegawai-pegawai kanan MOF sendiri boleh betulkan kesilapan yang sudah berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tangkapan tidak dibuat pun ia menutup ruang ketirisan yang berlaku," ujar beliau.

Justeru, Jais meminta penjawat awam di MOF mengambil peluang terhadap kenyataan Anwar dengan melaporkan salah laku yang diketahui dilakukan oleh rakan sekerja mereka.

"Inilah masa terbaik untuk hadir ke SPRM dan membuat laporan kerana anda pastinya tahu kegiatan yang dilakukan rakan sejawat anda. Tidak perlu risau kerana setiap daripada anda akan dilindungi mengikut Akta Pemberi Maklumat," kata beliau.

Mengulas lanjut, Jais berkata, dalam kes kecurangan di MOF juga, SPRM sebenarnya sudah mengetahui ia terjadi dan mungkin ada kes yang sudah dibuka kertas siasatan tetapi belum sesuai untuk dihebohkan kepada masyarakat.

"SPRM mempunyai pegawai-pegawai mereka yang diletakkan di bahagian integriti dan pastinya mereka itu melaporkan kepada SPRM untuk disiasat sekiranya mengesan kecurangan seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri.

"Rakyat marhaen sendiri sudah mengetahui ketirisan yang terjadi dalam MOF terutamanya kumpulan kontraktor serta pembida tender kerajaan," tambahnya.

Menurut beliau, perkara tersebut adalah rahsia umum yang diketahui oleh rakyat kerana mereka sentiasa berurusan dengan pegawai kementerian itu terutamanya ketika ingin masuk tender, perolehan mahupun pembelian barangan.

Katanya, masalah-masalah itu timbul ketika berurusan malah tidak hanya terjadi dalam MOF tetapi di kementerian-kementerian lain juga.