LLM umum plaza tol terlibat tambahan 12 lorong RFID

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan nama 12 plaza tol yang ditambah lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya kendalian Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi menangani masalah kesesakan.

LLM menerusi kenyataan pada petang Jumaat berkata, ia membabitkan 10 di Lebuh Raya Utara Selatan iaitu di plaza tol masuk Sungai Besi, Jalan Duta, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan, Setia Alam, Subang, Putra Mahkota dan Kajang serta satu di plaza tol keluar Shah Alam.

Katanya, dua lagi tambahan lorong itu dibuat masing-masing dibuat di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) iaitu di Kubang Semang.

"Pihak PLUS telah memberikan komitmen untuk melaksanakan penambahan lorong RFID ini selewat-lewatnya pada April 2023.

"LLM amat menghargai sokongan daripada syarikat konsesi dan pengguna dalam usaha kami untuk meningkatkan operasi di plaza tol," katanya.

LLM menjelaskan, penambahan lorong RFID berkenaan dibuat selepas pihaknya bersama PLUS berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Dato Seri Alexander Nanta Linggi pada pagi Jumaat untuk mengambil tindakan segera susulan aduan pengguna berhubung kekurangan lorong RFID di plaza tol lebuh raya PLUS.

Menurutnya, di dalam perbincangan tersebut, pihak LLM dan PLUS telah mengenal pasti isu-isu yang telah dibangkitkan dan membuat keputusan untuk menambah 12 lorong RFID di lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS.

Sehubungan itu, LLM meminta kerjasama pengguna untuk memastikan baki e-dompet untuk penggunaan lorong RFID adalah mencukupi sebelum melalui plaza tol.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengguna turut diminta memastikan baki kad Touch ‘n Go bagi pengguna lorong SmartTag dan Touch ‘n Go juga mencukupi sebelum melalui plaza tol.

"Selain itu, pastikan pemilihan lorong yang menggunakan kaedah (mode) bayaran yang sama sewaktu masuk dan keluar plaza tol.

"Komitmen dan sokongan berterusan pengguna amatlah diharapkan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya," ujarnya.

Orang ramai yang mahu memberikan sebarang pandangan boleh menghubungi LLM di talian 1800887752 serta laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik.