PAU 2022: Tindakan disiplin tak boleh dibuat semberono - Khaled

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang tindakan disiplin terhadap pemimpin UMNO termasuk daripada BN tidak boleh dilakukan secara semberono.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua tindakan yang dibuat perlu melalui proses.

“Saya percaya semua itu akan melalui proses bukannya dilakukan dengan cara semberono supaya diberi keadilan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid sebelum ini dalam ucapannya memberi bayangan bahawa UMNO akan mengambil tindakan ke atas pihak yang didakwa cuba mengkhianati parti itu.

Tambah Mohamed Khaled, amaran yang diberikan oleh Ahmad Zahid semasa ucapan itu juga adalah wajar.

“Dalam keadaan kita menerima hakikat UMNO bukan lagi kuat dan kukuh seperti dahulu, yang paling utama untuk parti ialah mesti ada kesepakatan dan kerjasama dalamnya,” ujarnya.

Menteri Pengajian Tinggi itu turut menyifatkan ucapan dasar yang dibuat oleh Ahmad Zahid juga adalah menyeluruh dan kena pada masanya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai satu ucapan dasar yang saya percaya perlu dijadikan sebagai panduan untuk pemimpin-pemimpin, ahli-ahli parti dan juga wakil-wakil parti yang ada dalam kerajaan,” jelasnya.