Guru luah perasaan melalui lagu 'Dilema Rantau Panjang'

Mohd Nazan mendendangkan lagu ciptaannya sebagai luahan rasa kecewa terhadap banjir luar biasa yang melanda Rantau Panjang semasa perhimpunan aman di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Jumaat.
Mohd Nazan mendendangkan lagu ciptaannya sebagai luahan rasa kecewa terhadap banjir luar biasa yang melanda Rantau Panjang semasa perhimpunan aman di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Seorang guru sains di sini mencipta sebuah lagu berkaitan banjir bagi meluahkan perasaan selepas diuji musibah tersebut pada Disember lalu.

Mohd Nazan Hussin, 49, yang hadir pada perhimpunan aman penduduk Rantau Panjang di Kampung Tersang, di sini pada Jumaat sempat mendendang lagu tersebut sebagai luahan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku.

"Idea menghasilkan lirik ini timbul semasa berada di dalam bangsal setinggi tiga meter untuk berlindung daripada banjir. Sambil melihat keadaan air yang semakin naik, tercetus idea untuk saya menulis lirik lagu 'Dilema Rantau Panjang'.

"Hanya menggunakan sebatang pen dan menulisnya pada kotak kasut, maka terhasil luahan hati ini mewakili penduduk di sini," katanya.

Beliau mengalami kerugian lebih RM70,000 semasa banjir luar biasa yang telah menenggelamkan 62 buah kampung di Rantau Panjang, baru-baru ini.

"Rumah saya paling tinggi di kawasan ini, dan tidak pernah dinaiki air. Tetapi banjir baru-baru ini saya terpaksa membawa naik lembu-lembu peliharaan ke atas rumah bagi menyelamatkan haiwan ternakan daripada lemas.

"Manakala saya, isteri dan lima anak terpaksa tinggal di atas siling rumah beberapa hari," katanya.

Menurut beliau, tahun 2022 meninggalkan kenangan buruk kepada mereka sekeluarga apabila 11 ekor lembunya yang anggaran keseluruhan berharga RM33,000 mati, dua kenderaan ditenggelami air dan alat pembesar suara bernilai RM20,000 turut musnah.

Artikel Berkaitan:

"Bukan itu sahaja perabot serta harta benda lain turut musnah.

"Banjir teruk itu berlaku ekoran pembinaan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok. Dalam sejarah rumah kami tidak pernah dinaiki banjir sehinggalah projek itu dilaksanakan," katanya.