Steinbruckner tak sabar menanti Adisak Kraisorn

Adisak Kraisorn
Adisak Kraisorn
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui tidak sabar menanti ‘kelibat’ penyerang import baharunya, Adisak Kraisorn dari Thailand di bumi Darul Iman.

Keterujaan ketua jurulatih kelahiran Croatia itu susulan aksi serta prestasi baik yang dipamerkan Adisak pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF menentang pasukan Harimau Malaya, Selasa lalu.

Steinbruckner berkata, walaupun pemain berusia 31 itu kurang beraksi dan diturunkan sebagai pemain gantian, Adisak berjaya menemui sentuhan terbaiknya apabila meledak gol ketiga buat Thailand yang melayakkan pasukan Gajah Perang itu ke pentas akhir Piala AFF untuk bertemu Vietnam.

"Saya tidak pernah bertemu beliau sebelum ini tetapi saya sudah melihat beberapa klip video dan saya mendapat sedikit maklumat. Saya tahu beliau seorang pemain terkenal di sana dan ASEAN.

"Beliau tidak banyak beraksi di peringkat kumpulan (AFF) tahun ini tetapi Adisak menjaringkan satu gol untuk membawa Thailand ke final. Nampak sangat baik dan saya tidak sabar untuk bertemu beliau," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, pada Khamis.

Menurut Steinbruckner, beliau juga mempunyai perancangan tersendiri untuk Adisak memandangkan skuad Penyu kini mempunyai tiga pemain import di posisi penyerang termasuk Ivan Mamut dan Jordan Mintah.

Beliau berkata, TFC mungkin akan meletakkan satu atau dua penyerang dalam satu-satu perlawanan tetapi itu akan diputuskannya kemudian.

"Saya tahu kualiti beliau (Adisak) dan Ivan. Ivan yang sedikit muda mungkin boleh melakukan banyak larian tetapi Adisak beliau adalah seorang penjaring terbanyak... kami akan meneliti perkembangan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adisak yang berketinggian 1.82 meter adalah antara lima pemain import baharu TFC musim ini yang ditandatangani untuk memperkuat skuad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala Konfederasi Asia (AFC). - Bernama