Tengku Permaisuri Selangor dukacita haiwan di pusat kurungan terbiar

Sebelum ini tular gambar dan video anjing-anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di negeri Selangor.
Sebelum ini tular gambar dan video anjing-anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di negeri Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa terutama majlis-majlis perbandaran di Selangor digesa agar memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat-pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah menggesa pihak-pihak berwajib meneliti semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat-pusat kurungan haiwan terbiar ini.

Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian SPCA Selangor, baginda menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan tularnya gambar dan video anjing-anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di negeri Selangor.

“Menyedari bahawa anjing terbiar yang ditempatkan di pusat-pusat ini kebanyakannya tidak terurus dan kurang nutrisi, maka prosedur operasi standard (SOP) harian yang sedang diguna pakai juga perlu disemak semula.

“Ini kerana jika SOP semasa ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing-anjing berkenaan seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus,” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office pada Jumaat.

Justeru, baginda mencadangkan agar usaha-usaha ke arah memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah ia ditunjangi dengan memperkasa semula kolaborasi dan kerjasama di antara majlis-majlis perbandaran dan penduduk-penduduk taman perumahan terlibat.

Selain itu, majlis perbandaran dengan kerjasama SPCA mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan NGO ke pusat-pusat kurungan haiwan terbiar dan menempatkan pegawai-pegawai kebajikan haiwan bersama pencinta-pencinta haiwan di setiap zon daerah, seterusnya melatih mereka untuk menggalakkan pengkasian (neuter) haiwan terbiar di bawah kempen SFS,” titahnya.

Sehubungan itu, Tengku Permaisuri Norashikin berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

"Di samping tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh pihak-pihak berwajib, baginda juga mahu setiap ahli masyarakat menggalas peranan yang lebih signifikan khususnya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling," titah baginda.