'Baiki pengurusan pusat kurungan haiwan' - Permaisuri Selangor

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, agar pihak berkuasa khususnya majlis perbandaran memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.
Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, agar pihak berkuasa khususnya majlis perbandaran memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, agar pihak berkuasa khususnya majlis perbandaran memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Penaung Diraja kepada kempen ‘Stray Free Selangor’ (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA), bertitah, pihak berkenaan perlu meneliti pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar ini.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan tular gambar serta video anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di Selangor, sekali gus menitahkan agar prosedur operasi standard (SOP) harian yang diguna pakai disemak semula.

"Ini kerana jika SOP semasa ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing tersebut seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus,” titah baginda menerusi hantaran di akaun Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Tengku Permaisuri Selangor turut mencadangkan agar usaha ke arah memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar dipergiat menerusi kempen ‘Create Caring and Compassionate Communities’ (CCC).

"Antara perkara yang digariskan dalam kempen itu ialah memperkasa semula kolaborasi dan kerjasama antara majlis perbandaran dan penduduk taman perumahan terlibat.

"Majlis perbandaran dengan kerjasama SPCA juga boleh mengendalikan sesi ‘responsible pet ownerships’ (RPO) bersama penduduk, serta menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan NGO ke pusat kurungan haiwan terbiar,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Selangor bertitah, pegawai kebajikan haiwan bersama pencinta haiwan mungkin boleh ditempatkan di setiap zon daerah, seterusnya melatih mereka untuk menggalakkan pengkasian (neuter) haiwan terbiar di bawah kempen SFS.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, baginda mencadangkan agar pihak berwajib mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA serta NGO sekiranya wujud keperluan bagi melupuskan haiwan terbiar atas sebab kesihatan atau sebagainya.

"Di samping tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh pihak berwajib, setiap ahli masyarakat juga perlu menggalas peranan yang lebih signifikan khususnya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling,” titah baginda.

Pada Rabu media melaporkan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP), akan meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan anjing di bawah seliaannya.

Ia susulan tular beberapa keping gambar anjing yang kurus dan kelihatan tidak terurus di pusat kurungan haiwan yang didakwa bawah kendalian MPKL. - Bernama