MAFS cakna masalah nelayan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu (tengah) turun padang bagi menjayakan Program Jiwa Murni LKIM dan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Nelayan Negeri Kedah di Kuala Kedah pada Khamis.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu (tengah) turun padang bagi menjayakan Program Jiwa Murni LKIM dan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Nelayan Negeri Kedah di Kuala Kedah pada Khamis.
A
A
A

KUALA KEDAH - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa bersiap siaga dan cakna dengan setiap permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan sasar nelayan.

Unit Komunikasi Korporat LKIM dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, ia demi memastikan kebajikan nelayan terus diperkasakan, sekali gus memastikan keselesaan dan keperluan golongan tersebut diberi perhatian sewajarnya.

"MAFS juga komited menyediakan pelbagai bantuan yang komprehensif bagi meringankan beban nelayan menerusi LKIM. Untuk tujuan tersebut, penilaian secara menyeluruh dilaksanakan dari semasa ke semasa agar keperluan golongan sasar dapat diteliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada mereka.

"Kementerian melalui LKIM juga sentiasa berusaha dan komited untuk membantu meringankan beban ditanggung golongan sasar nelayan, selain memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjaga sebagai dokongan dalam memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan," menurut kenyataan itu.

Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu turun padang bagi menjayakan Program Jiwa Murni LKIM dan Majlis Penyampaian Bantuan kepada nelayan Kedah pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman; Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Turut disampaikan, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 kepada 690 orang nelayan yang merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah melibatkan peruntukan sebanyak RM207,000

Untuk rekod, sebanyak RM8.08 juta telah disalurkan melalui peruntukan ESHN LKIM bagi manfaat seramai 2,224 penerima pada 2022 bagi negeri Kedah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, setiap PNK di Kedah turut menerima Bantuan Touch Point sebanyak RM50,000 dengan setiap PNK di negeri ini masing-masing menerima RM10,000 untuk diberikan kepada nelayan ahli persatuan yang berkelayakan bagi pembelian peralatan menangkap ikan seperti pukat dan tong ikan berinsulasi.

Pada majlis sama, turut disampaikan bantuan sumbangan zakat Agrobank sebanyak RM200 kepada 100 orang asnaf miskin nelayan PNK Kuala Kedah selain pemberian Sijil Penghargaan Program Agro Nisaa’ kepada lima orang penerima program pembiayaan komuniti nelayan di Kuala Kedah.

Ia hasil kerjasama strategik Agrobank dan Nekmat bagi menyokong komuniti nelayan dalam memastikan pendapatan isi rumah sosioekonomi komuniti nelayan dapat ditingkatkan.

Seramai 25 peserta terbahagi kepada lima kumpulan di kawasan Kuala Kedah dan sekitarnya juga mendapat manfaat dari program berkenaan dengan nilai pembiayaan melebihi RM150,000,

Program itu dilihat dapat membantu meningkatkan purata pendapatan usahawan sekitar 40 hingga 60 peratus dari pendapatan sebelumnya.

Sebelum itu, majlis amanat pimpinan MAFS bersama pemimpin persatuan nelayan kebangsaan, negeri dan kawasan negeri Kedah turut diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara kementerian dengan pemimpin persatuan nelayan dan kumpulan sasar.

Majlis berkenaan turut membincangkan segala permasalahan, keperluan dan hala tuju PNK menerusi dialog secara bersemuka.