Pura-pura minta daun pandan sebelum curi emas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEMAMAN – Polis mengesan modus operandi terbaharu digunakan penjenayah iaitu memperdaya sasaran dengan cara berpura-pura meminta suatu barangan sebelum rakan subahatnya menggeledah rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, seorang warga emas lelaki berusia 81 tahun kerugian hampir RM80,000 selepas 12 kepingan emas dilarikan pencuri yang berpura-pura meminta daun pandan daripada mangsa.

Menurutnya, kejadian yang menimpa mangsa dari Chukai di sini dilaporkan berlaku pada 4 Januari lalu dipercayai didalangi seorang wanita dan lelaki.

“Suspek datang ke rumah mangsa lalu berpura-pura meminta daun pandan. Warga emas itu membawa suspek ke belakang rumah untuk mengambil daun pandan sebelum suspek mengajak mangsa berbual hampir setengah jam.

“Ketika sedang leka berbual, rakan subahat suspek bertindak menceroboh rumah dan kejadian itu hanya disedari mangsa selepas mendapati 12 kepingan emas miliknya hilang,” katanya di sini pada Khamis.

Menurut Hanyan, susulan laporan dibuat warga emas terbabit, pihaknya sedang mengesan suspek lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang menaiki kenderaan Perodua Myvi berwarna putih.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek supaya membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

“Saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan mana-mana individu yang menggunakan taktik sama atau hampir serupa bagi mengelak daripada menjadi mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan: