'Anak minta 20 sen sebelum maut digilis lori'

Muhamad Qayyum (kiri) ketika berada di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini tengah malam Khamis. (Gambar kecil: Nur Qayra Quraisya..maut digilis lori ketika bermain bersama saudaranya.)
Muhamad Qayyum (kiri) ketika berada di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini tengah malam Khamis. (Gambar kecil: Nur Qayra Quraisya..maut digilis lori ketika bermain bersama saudaranya.)
A
A
A

MELAKA - Bapa kepada kanak-kanak yang maut digilis lori dalam kemalangan di sini pada petang Khamis reda dengan kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Kejadian yang berlaku jam 5.25 petang, menyebabkan Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum, 5, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Muhamad Qayyum Abdul Aziz yang bekerja sendiri berkata, sebelum kejadian mangsa datang kepadanya dan meminta wang 20 sen untuk membeli aiskrim sebelum berlalu pergi.

Namun menurutnya, beberapa minit kemudian dia terdengar kekecohan orang ramai dan segera berlari ke tempat kejadian.

"Bila tiba di tempat kejadian saya lihat anak sudah dilanggar lori yang membawa muatan pasir," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Tambahnya, arwah yang mesra dipanggil adik kebiasaannya akan duduk sementara di rumah ibunya selepas pulang dari tadika, memandangkan dia juga sedang melakukan kerja-kerja kontraktor di sebuah rumah di kampung tersebut.

Ujarnya, sejak kebelakangan ini anaknya yang disifatkan manja itu mudah merajuk sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.

"Saya pun pelik, selalunya Qayra tidak begitu sehingga menguji kesabaran saya namun saya tak memarahinya, rupanya dia pergi dulu dari kami," katanya.

Tambahnya, dia dan isteri, Faezah Kadir, 38, berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi kerana akan memberi kesan kepada mereka sekeluarga terutama komen-komen di media sosial.

Katanya, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang, Malim di sini tengah malam Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut digilis lori di Kampung Paya Mengkuang Batang Tiga di sini,

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, mangsa dipercayai bermain bersama saudaranya di kawasan berhampiran tempat kejadian.