Cadangan pembubaran GIACC, memorandum khas dihantar kepada PM

Rais
Rais
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah akan mengemukakan memorandum khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengkaji semula cadangan pembubaran Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Jawatankuasa Khas itu mendapati GIACC telah melaksanakan lebih 80 peratus syor transformasi institusi sejak 2018 termasuk pengasingan Peguam Negara daripada institusi Pendakwa Raya dan pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setidak-tidaknya GIACC bersama Institut Integriti Malaysia boleh diadunkan khidmat perancangan antirasuah bagi mencapai matlamat bebas rasuah negara,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas berkenaan pada Rabu.

Sebelum ini, Anwar berkata, cadangan untuk membubarkan GIACC yang ditubuhkan pada Jun 2018, akan diteliti kerana dilihat berlaku pertindihan tugas.

Anwar berkata, sekiranya bidang itu (GIACC) boleh dikendalikan SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka badan-badan yang berlaku pertindihan perlu dikurangkan kerana setiap agensi yang bertindih itu menanggung kos yang tinggi.

Rais berkata, perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan ialah meneliti pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja (1959) Pindaan 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022.

"Cadangan pindaan Akta Kesatuan Sekerja (1959) Pindaan 2022 itu pada keseluruhannya menepati objektif transformasi perburuhan dan kesatuan sekerja di negara ini,” katanya.

Rais berkata, satu usul khas berkaitan pindaan Akta Kesatuan Sekerja berkenaan akan dibawa dalam sidang Dewan Negara pada bulan Mac akan datang.

Artikel Berkaitan:

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas yang hadir pada mesyuarat pada Rabu ialah Senator Datuk John Ambrose, Senator Datuk Seri S. Vell Paari, Senator Datuk Jefridin Atan dan Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifa.

Turut hadir ialah wakil daripada Kementerian Sumber Manusia yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa);, Maniam Arumugam; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Kamal Pardi serta Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) dan Gabungan Pembaharuan Undang-Undang Buruh (LLRC). - Bernama