Ibu tunggal dipukul, diugut bunuh anak kandung

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang ibu tunggal dipukul di bahagian muka malah diugut bunuh oleh anaknya sendiri hanya kerana suspek tidak berpuas hati hubungan mangsa dengan lelaki lain dalam kejadian di sebuah premis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 1 tengah hari semasa mangsa berada di kedai miliknya di Jalan Utama 1/11, Taman Perindustrian Puchong Utama di sini sebelum didatangi suspek.

"Suspek seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bertindak terus memarahi ibunya di kedai terbabit.

"Suspek kemudian memukul bahagian muka ibunya menggunakan sekeping fail dan mengugut mahu membunuh mangsa.

"Punca kejadian dipercayai kerana suspek menuduh mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain selepas kematian bapanya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wan Azlan berkata, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Rumahtangga dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya menahan suspek sekitar jam 11.30 malam Selasa.

Beliau berkata, hasil ujian urin terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Suspek direman tiga hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan menakutkan secara jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali," ujar beliau.