Penoreh getah tak mengaku rogol, amang seksual anak kandung

Peneroh getah didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya dalam kejadian di Kuala Lipis bulan lalu.
Peneroh getah didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya dalam kejadian di Kuala Lipis bulan lalu.
A
A
A

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya dalam kejadian di Kuala Lipis bulan lalu.

Tertuduh yang merupakan penoreh getah berusia 54 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Siti Aisyah Ahmad.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dan kes disebut semula pada 29 Mei depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, suspek ditangkap pada 20 April lalu dan telah ditahan reman selama 10 hari sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen Raub pada Jumaat.

Menurutnya, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan, manakala bagi pertuduhan kesalahan amang seksual ke atas kanak-kanak boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan," jelasnya.

Azli berkata, perbuatan lelaki terbabit terbongkar selepas kakak tiri mangsa tampil membuat laporan polis bahawa adik tirinya iaitu anak kandung tertuduh yang berusia 16 tahun 6 bulan telah dirogol.

Beliau menambah, hasil laporan tersebut membawa kepada penangkapan tertuduh oleh pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lipis.

"Siasatan mendapati tertuduh telah merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa pada 17 dan 18 April lalu di sebuah rumah.

"Seterusnya, siasatan juga mendapati mangsa telah mengalami gangguan seksual oleh bapa kandungnya sejak berusia 10 tahun dan dirogol ketika berusia 15 tahun. Mangsa tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang dia dan ibunya dipukul.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek (tertuduh) didapati dia telah mengaku merogol dan mencabul anak kandungnya itu,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang.

Azli turut menasihatkan orang ramai agar tidak takut untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah dan mengalu-alukan orang ramai membantu dalam menyalurkan maklumat berhubung sebarang kejadian jenayah.

"Maklumat orang ramai membolehkan polis boleh menjalankan tindakan lebih tegas bagi mengatasinya pelakuan jenayah," katanya lagi.