‘Akan ada kerjasama dalam PRN nanti’ - Rahman Dahlan

Datuk Abdul Rahman Dahlan
Datuk Abdul Rahman Dahlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Terdapat kerjasama yang akan dilakukan di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana semasa taklimat khas bersama Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa kerjasama yang dibentuk adalah di semua peringkat.

“Jadi tanggapan saya, dalam PRN nanti akan ada kerjasama dalam bentuk Kerajaan Perpaduan untuk berdepan dengan parti yang akan bertanding dalam PRN nanti,” katanya selepas menghadiri taklimat khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mencatatkan sejarah tersendiri apabila penganjuran kali ini sedikit berbeza apabila daripada Taklimat Presiden diadakan kembali.

Beliau berkata, taklimat secara tertutup oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dijangka membabitkan kehadiran lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara.

Taklimat tersebut difahamkan bagi memberi kefahaman dan memaklumkan kepada perwakilan yang hadir mengenai tindakan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

Tambah Abdul Rahman, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa gabungan kekuatan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membuahkan satu formula baharu kepada negara.

“Pada pandangan saya, maksud Presiden tadi adalah berkenaan nilai-nilai konservatif UMNO selama 70 tahun wujud dan ditambah dengan nilai reformasi, pragmatik dan progresif PH menyebabkan Kerajaan Perpaduan boleh berikan tawaran nilai baharu kerajaan, politik dan pada rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kekuatan setiap individu parti dalam Kerajaan Perpaduan, akan berikan tawaran baik yang boleh mengalahkan tawaran yang boleh dibuat oleh parti lawan,” ujarnya.

Jelasnya, Ahmad Zahid turut mengajak ahli parti itu tidak terlalu pesimistik (negatif) dalam menghadapi cabaran pada tahun mendatang.

“Ini terutama dalam PRN enam negeri yang bakal hadapi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, antara intipati talimat tersebut adalah kesepaduan dalam parti untuk menghadapi PRN.

“Akan ada enam PRN pada masa hadapan. Jadi kesepaduan dalam UMNO itu penting dan kita bincang macam mana nak berhadapan dengan PRN. Kita perlu bersiap sedia,” ujarnya.