Joe Biden kena sabotaj?

Biden (gambar kecil) mendakwa beliau tidak tahu-menahu tentang kandungan dokumen 'sulit' tersebut. - Foto Agensi
Biden (gambar kecil) mendakwa beliau tidak tahu-menahu tentang kandungan dokumen 'sulit' tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Sejumlah dokumen kerajaan yang bertanda 'sulit' ditemui di dalam almari berkunci di pejabat yang pernah digunakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Peguam khas beliau, Richard Sauber memaklumkan Jabatan Kehakiman (DOJ) dan Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara sedang mengkaji dokumen tersebut yang dipercayai milik pentadbiran Presiden ke-44 AS, Barack Obama ketika Biden bergelar Naib Presiden.

"Kesemua dokumen itu dijumpai di Penn Biden Center for Diplomacy and Global Engagement di Washington pada 2 November lalu," ujarnya.

Sementara itu, Biden menyatakan beliau terkejut dengan penemuan tersebut dan tidak tahu-menahu tentang kandungannya, sekali gus mencetuskan persoalan jika ada pihak yang mahu mensabotaj pemimpin berkenaan.

"Kami beri kerjasama penuh. Umum mengetahui saya mengambil serius tentang isu dokumen dan maklumat sulit. Pihak saya telah melaporkan perkara itu dengan segera dan mengambil langkah sewajarnya," katanya ketika sidang media di Mexico City pada Selasa.

Peguam Negara, Merrick Garland juga telah mengarahkan John Lausch yang merupakan peguam dilantik Donald Trump untuk mengkaji semula insiden itu selepas Kongres yang kini dikawal Parti Republikan berikrar untuk menyiasat perkara tersebut.

Difahamkan, penemuan itu dibuat hampir tiga bulan selepas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyerbu kediaman peribadi milik pendahulunya di Florida dan merampas lebih 100 dokumen sulit kerajaan dan ratusan rekod lain milik kerajaan.

Skandal itu juga menyaksikan bilionair hartanah berkenaan menjadi fokus utama siasatan jenayah oleh DOJ selepas Trump didakwa membawa keluar kesemua dokumen itu dari Rumah Putih setelah penggal pentadbirannya berakhir pada Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Biden dengan lantang mengkritik Trump yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab selepas FBI merampas kira-kira 20 kotak mengandungi dokumen penting kerajaan dari Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida. - Agensi