Didenda RM15,000 buang sisa komersial berhampiran perumahan

Choon Kiat (tiga,kiri) Ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di sini pada Rabu.
Choon Kiat (tiga,kiri) Ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di sini pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Tindakan sebuah syarikat pengubahsuaian rumah membuang sisa komersial secara haram Ogos tahun lalu membawa padah selepas didenda RM15,000 atas pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Darmafikri Abu Adam memutuskan demikian terhadap syarikat Jun Kiat Trading, selaku Orang Kena Saman (OKS), diwakili pengarahnya Tan Choon Kiat, 55, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didapati melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial di kawasan tanah di Mukim Batu Berendam di sini pada jam 1.10 petang pada 16 Ogos tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan minimum enam bulan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, pengadu yang merupakan pembantu penguat kuasa di Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Hang Tuah Jaya bersama-sama pasukan penguatkuasaan SWCorp Melaka membuat intipan dan pemantauan di kawasan Batu Berendam pada jam 1.10 petang 16 Ogos tahun lalu.

Pemantauan dijalankan mendapati sebuah lori bermuatan penuh dalam keadaan mencurigakan menuju ke lokasi di Jalan Bidadari berhampiran Taman Sutera Wangi dan telah melonggokkan sisa pepejal terkawal (sisa pepejal komersial).

Siasatan mendapati kesalahan tersebut dilakukan individu yang juga pemilik kepada sebuah syarikat perniagaan berkaitan kerja-kerja kayu seperti membaik puluh perabot dan kabinet dapur.

Dalam prosiding itu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda rendah dikenakan dengan alasan syarikatnya kini kurang menerima tempahan kerja-kerja pengubahsuaian.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Abd Hadi Abd Wahab bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan lokasi pembuangan haram itu berhampiran kawasan perumahan.

"Perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar malah berisiko mengancam nyawa orang ramai jika berlarutan," hujahnya.

Mahkamah kemudian memerintahkan syarikat terbabit didenda RM15,000 dan OKS membayar denda dikenakan.