Penalti lebih tinggi terhadap majikan

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A

LANGKAWI - Pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mengenakan penalti yang lebih tinggi ke atas majikan yang gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini proses pindaan terhadap akta tersebut masih dalam pelaksanaan dan diharap dapat dibawa pada persidangan Parlimen akan datang.

"Antara pindaan akta tersebut ialah menaikkan kadar penalti ke atas majikan yang gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja.

"Buat masa ini kadar maksimum penalti yang dikenakan ialah RM50,000 yang mudah untuk pemaju projek besar membayarnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar OSH for Langkawi di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Omar Mat Piah.

Sementara itu, Mahfuz berkata, kementerian menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menyiasat sebanyak 3,773 kes kemalangan pekerjaan tahun lalu. Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 297 kes adalah kemalangan maut, dengan sektor pembinaan penyumbang utama iaitu 113 kes.

“Sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 27,014 pemeriksaan dan penguatkuasaan oleh JKKP telah dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah ini, sebanyak 27,024 notis telah dikeluarkan.

“Sebanyak 945 kesalahan direkodkan dan dikenakan kompaun berjumlah RM1.449 juta dan 318 kes didakwa di mahkamah melibatkan jumlah penalti RM3.714 juta,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: