Penduduk berang, pertemuan bincang pemilikan tanah kecoh

Beberapa penduduk dan anggota polis menenangkan penduduk yang berang berhubung isu pemilikan tanah pertanian di Kampung Kinjang Baru, Chenderiang dalam pertemuan pada Selasa.
Beberapa penduduk dan anggota polis menenangkan penduduk yang berang berhubung isu pemilikan tanah pertanian di Kampung Kinjang Baru, Chenderiang dalam pertemuan pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Pertemuan penduduk bersama agensi dan wakil rakyat berhubung isu pemilikan tanah pertanian di Kampung Kinjang Baru, Chenderiang dekat sini bertukar kecoh apabila penduduk tidak dapat mengawal emosi dan kemarahan.

Kejadian sekitar jam 11 pagi di sebuah dewan itu bermula apabila beberapa penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan diberikan Pejabat Daerah dan Tanah serta Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang hadir.

Mereka yang berang mengeluarkan kata-kata berunsur marah hingga mencetuskan pergaduhan dan pertikaman lidah.

Suasana itu bagaimanapun berjaya ditenangkan penduduk lain dan anggota polis yang berada di lokasi.

Wakil penduduk, Mohamad Ayob Saad, 55, berkata, pertemuan itu pada mulanya diatur bagi mencari jalan penyelesaian terhadap permohonan penduduk memiliki tanah pertanian yang diusahakan sejak 1937.

Menurutnya, tanah seluas ratusan hektar yang diwarisi hingga generasi keempat itu diusahakan dengan tanaman sawit, getah serta durian dan menjadi sumber pendapatan utama hampir 500 penduduk setempat.

Penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu pemilikan tanah pertanian di Kampung Kinjang Baru, Chenderiang dalam pertemuan pada Selasa.
Penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu pemilikan tanah pertanian di Kampung Kinjang Baru, Chenderiang dalam pertemuan pada Selasa.

"Pada 2006, kami dimaklumkan tanah-tanah ini telah diserah milik kepada PPPNP dan penduduk yang masih mahu meneruskan perlu membayar sejumlah sewaan kepada perbadanan itu.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini membuatkan kami kecewa dan kesal kerana permohonan untuk mendapatkan geran di atas tanah diusahakan telah dibuat lebih 70 tahun lalu dari generasi kedua.

"Malangnya perkara itu tidak mendapat perhatian sewajarnya, malah sering dijadikan gula-gula politik setiap kali pilihan raya," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Datuk S Suriakumar sebagai wakil Ahli Parlimen Tapah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, manakala PPPNP diwakili Pengurus Besar Pengerusan Tanah dan Hartanah, Noor Haslina Ali.

Seorang lagi penduduk, Borhan Nurddin Akasah, 48, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan penduduk bagi mendapatkan geran termasuklah menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak.

Katanya, penduduk juga sering berulang-alik ke Pejabat Daerah dan Tanah bagi menyelesaikan isu pemilikan itu, namun hampa apabila ditolak dengan pelbagai alasan.

"Kami sebagai orang kampung berasa teraniaya. Kami dah usahakan lama, tetapi ini yang kami dapat. Perkara ini bukan baharu, sudah berlarutan berpuluh tahun. Masalah ini membuatkan kami semua tidak tidur lena.

"Jadi kami minta Menteri Besar campur tangan dalam hal ini, bantulah kami penduduk kampung di sini," katanya.

Sementara itu, Suriakumar memaklumkan, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat khas bersama agensi terlibat dalam masa terdekat.

"Kita akan duduk berbincang bersama PPPNP dan pejabat daerah bagi mencari cara terbaik menyelesaikan isu ini," katanya.