Kerja penurapan jalan besar-besaran di Selangor tahun ini

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menurap jalan di seluruh Selangor pada tahun ini. (Gambar kecil: Izham)
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menurap jalan di seluruh Selangor pada tahun ini. (Gambar kecil: Izham)
A
A
A

AMPANG - Kerajaan Selangor akan melaksanakan kerja penurapan jalan secara besar-besaran tahun ini melibatkan peruntukan RM50 juta bermula Mac depan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, projek berkenaan melibatkan jalan-jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kebanyakan jalan di Selangor telah melebihi had penggunaan dan perlu dinaik taraf.

"Jalan pun ada tarikh luput, selepas 20 tahun jalan berkenaan perlu dinaik taraf bagi memastikan strukturnya berkesan semula.

"Kalau sekadar kita tampal sahaja, dua atau ke tiga bulan ia akan rosak semula. Jadi perlu dibuat naik taraf atau penyelesaian struktur," katanya selepas tinjauan kerja pengukuhan cerun di Taman Bukit Permai pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memohon kerajaan Persekutuan memantau penyelenggaraan jalan di bawah seliaannya bagi menjamin keselesaan kepada pengguna.

"Saya sudah sebut kepada menteri dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kita perlu ada kaedah pastikan jalan persekutuan termasuk lebuh raya diselenggara dengan baik.

"Penyelenggaraan yang longgar menyebabkan banyak aduan diterima dan ia yang memerlukan bajet khas untuk selesaikan masalah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan negeri perlu mendapat kerjasama yang lebih baik daripada kerajaan Persekutuan bagi penyelenggaraan isu jalan di Selangor.

"Rakyat buat aduan tidak kira jalan itu di bawah negeri atau Persekutuan kerana beranggapan selagi mana jalan itu di dalam Selangor maka ia di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak boleh menggunakan bajet negeri untuk naik taraf jalan persekutuan, di bawah audit ia tidak dibenarkan," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya dalam Bajet 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM40.98 juta diagih kepada JKR untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi seperti Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).