Badan kehakiman bebas jika tiada tekanan - Tengku Maimun

Tengku Maimun (kiri) dan Abang Iskandar (kanan) hadir di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Tengku Maimun (kiri) dan Abang Iskandar (kanan) hadir di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut, tiada pilih kasih, niat jahat atau tekanan luaran mahupun dalaman, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tun Mat.

Menurutnya, jika setiap hakim komited kepada prinsip ini, beliau yakin prinsipal kebebasan kehakiman dapat ditegakkan.

Beliau berkata, mengambil sistem keadilan jenayah sebagai contoh, mahkamah bukan satu-satunya pihak yang memberikan keadilan.

"Badan Kehakiman turut dibantu oleh pendakwaan iaitu Jabatan Peguam Negara dan Badan Peguam.

"Mereka masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza tetapi tidak kurang pentingnya untuk mengekalkan standard profesional di mana nyawa dan kebebasan dipertaruhkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn.

Menurut Tengku Maimun, liabiliti jenayah akan terus ditentukan mengikut undang-undang yang terpakai dan kekuatan bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan, kemudian dikenakan hukuman sewajarnya, tidak lebih dan tidak kurang manakala jika keadaan sebaliknya berlaku, mereka akan dibebaskan.

"Ini adalah tugas kita sebagai hakim dan kami berazam untuk melaksanakan kewajipan tanpa mengambil kira ancaman yang dibuat untuk menghalang kita daripadanya," katanya.