FAM tidak pilih kasih isu penyokong JDT bakar suar

Penyokong JDT menyalakan suar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. - Foto Media sosial
Penyokong JDT menyalakan suar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. - Foto Media sosial
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih selepas badan induk itu seakan-akan membisu berhubung tiga insiden pembakaran suar yang dilakukan oleh segelintir penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT).

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, semua pasukan dilayan sama rata dan JDT juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman atas insiden yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu.

"Itu hanya spekulasi dan tidak benar (menuduh FAM beri keistimewaan kepada JDT). Jawatankuasa tatatertib FAM layan semua kelab sama rata.

"Mereka akan tengok kes demi kes dan jawatankuasa yang akan memutuskan bentuk hukuman nanti," katanya ketika ditemui media pada majlis Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara Bolabros Global Events Sdn Bhd (Bolabros) dan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) pada Rabu.

Sebelum ini, sebanyak tiga kali sekumpulan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) membakar suar selepas perlawanan sekali gus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Setakat ini, belum ada hukuman yang dikenakan kepada JDT sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara kemungkinan JDT diberikan keistimewaan oleh FAM.

Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui pasukan itu akan dikenakan denda selain mengharapkan agar nilai denda itu dapat ditolak melalui hutang lama mereka.

Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM mengharapkan agar insiden suar itu tidak berulang dan kelab perlu bertanggungjawab mengelakkan penyokong membawa masuk barang larangan.

"Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sendiri yang maklumkan kepada kelab, ini tanggungjawab kelab untuk memastikan penyokong tidak membawa masuk barang larangan bukan sahaja suar tetapi juga barang larangan lain," katanya.

Terdahulu, Mohd Firdaus turut menandatangani MOU bagi pihak Bolabros dan PBSMM yang menjalinkan kerjasama dalam program The Showcase Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 2-5 Jun ini.

The Showcase bertujuan membangun bakat bola sepak Malaysia dan seorang pemain terpilih akan berpeluang diterbangkan ke Madrid untuk menerima latihan profesional Sepanyol pada Julai nanti.