Sabah teruskan peruntukan RM20 juta insentif harga getah

Hajiji Noor - Foto Bernama
Hajiji Noor - Foto Bernama
A
A
A
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah meneruskan peruntukan RM20 juta bagi pembayaran insentif harga getah kepada pekebun kecil komoditi itu di negeri ini, pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, melalui insentif terbabit, pekebun kecil akan diberi tambahan harga getah sebanyak RM0.25 sekilogram bagi getah kentalan.

"Lembaga lndustri Getah Sabah (LIGS) pula akan menyumbang subsidi RM0.05 sekilogram, ini menjadikan jumlah tambahan RM0.30," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Di samping itu, katanya, dalam Bajet 2023 kerajaan negeri turut memperuntukkan RM16.35 juta kepada LIGS bagi pembangunan subsektor komoditi getah.

"Justeru, saya mahu pengurusan dan semua kakitangan LIGS agar berusaha meningkatkan kualiti serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pekebun kecil getah, terutamanya dalam aspek membangunkan tanah milik pekebun kecil sehingga kepada pemprosesan, kemudian pemasaran getah mereka ke pasaran antarabangsa," katanya lagi.



Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM69,058,400 membabitkan 86,323 pekebun kecil di Sabah.

"Bantuan yang diberikan ini sebelum ini telah dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 setiap penerima dan LIGS akan membantu mengagihkan BMT dan bantuan ini mula dibayar hari ini.

"Kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini, kami sentiasa mencari jalan untuk membantu kerana pekebun kecil juga terpaksa menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu terutama pada hujung tahun, sehingga menjejaskan pendapatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Hajiji mahu LIGS bersama agensi berkaitan termasuk Lembaga Getah Malaysia dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengambil tindakan proaktif serta berterusan dalam menangani masalah penyakit daun luruh getah (Pestaloptiopsis).

"Ketika ini industri getah seluruh dunia dilanda penyakit ini dan penyakit daun luruh getah ini boleh mengurangkan hasil getah sehingga 50 peratus sekali gus akan memberi kesan kepada pekebun kecil getah sebab itu rancangan perlu ada," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: