Platform konkrit elak kemalangan di tempat pembuangan sampah

Tangkap layar video yang dikongsi Juwairiya melalui Facebooknya pada Jumaat.
Tangkap layar video yang dikongsi Juwairiya melalui Facebooknya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Platform konkrit akan dibina di tempat pembuangan sampah di Jalan Sasaran ke Bukit Kuching di Kuala Selangor bagi mengelak risiko kemalangan jalan raya di laluan berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas tinjauan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli di lokasi susulan aduan diterima daripada penduduk setempat dan pengguna jalan.

Juwairiya berkata, tinjauan itu dibuat bersama pihak KDEB Waste Management (KDEBWM), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menurutnya, hasil perbincangan secara bersama juga bersetuju untuk mengekalkan lokasi tong sampah sedia ada namun kawasan itu perlu kemudahan platform konkrit untuk keselamatan pengguna membuang sampah dan pengguna jalan raya.

“Kata sepakat dicapai untuk menyelesaikan masalah di sini dengan sediakan platform konkrit supaya lebih selamat untuk lori sampah kutip sampah tanpa ganggu laluan lalu lintas jalan raya.

“Ini kerana aduan kami terima bila lori berhenti di tengah jalan untuk kutip sampah ia membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam video pendek dimuatnaik di laman Facebooknya.

Beliau menambah, platform konkrit berkenaan akan dibina oleh KDEBWM selain agensi tersebut juga akan menyediakan tong sampah baharu yang lebih baik.

“Saya harap ini dapat memudahkan orang kampung berhampiran dan menyelesaikan masalah serta kerisauan mereka terhadap isu sampah di laluan ini kerana kita terima aduan (berlaku) kemalangan akibat tong sampah diletakkan terlalu hampir dengan jalan raya selain kerosakan kenderaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: