Jay Chou sedia tangguh konsert, beri laluan Piala AFF

Jay Chou
Jay Chou
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah beberapa hari menjadi sasaran amarah netizen Malaysia, penyanyi antarabangsa dari Taiwan, Jay Chou akur dan bersedia menangguhkan konsert yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 15 Januari depan.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada peminat setia skuad Harimau Malaya menyaksikan aksi separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 Suzuki 2022 antara Malaysia dengan Thailand.

Personaliti televisyen berusia 43 tahun itu dilihat turut membalas luahan dan keluhan yang dikongsikan netizen dalam ruangan komen Instagramnya susulan hanya 59,000 tiket dijual bagi perlawanan itu berikutan 21,000 tempat duduk terpaksa 'dikosongkan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert yang sedang dalam proses pemasangan.

“Kepada peminat bola sepak Malaysia, saya tahu perlawanan ini amat penting untuk anda.

“Saya tiada masalah untuk menunda konsert, tetapi yang penting anda perlu tanya kepada pihak pengurusan atau penganjur sama ada konsert saya boleh ditangguhkan.

“Saya tiada masalah dengan perkara tersebut, saya hanya ingin menyanyi untuk peminat saya,” katanya menerusi Instastory pada Jumaat.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan sebanyak 21,000 tempat duduk tidak dapat dijual sebagai persediaan pentas Konsert Jelajah Dunia Jay Chou.

Ia mendatangkan rasa tidak puas hati sebilangan peminat bola sepak hingga berani menempias kemarahan itu melalui ruangan komen di media sosial, selain meminta penyanyi tersebut untuk menangguhkan konsertnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberitahu, kerja pemasangan berkenaan telah ditempah awal semenjak Mac 2019.

Justeru, beliau berharap peminat bola sepak dapat menerima hakikat mengenai perkara tersebut.