Geng samun, pecah rumah tumpas

Antara barang yang dirampas susulan penahanan tiga suspek kes samun berkawan, baru-baru ini. Gambar kecil: Wan Azlan
Antara barang yang dirampas susulan penahanan tiga suspek kes samun berkawan, baru-baru ini. Gambar kecil: Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis menumpaskan jenayah samun berkawan dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan dibantu Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan IPD Petaling Jaya.

"Penahanan di Bandar Sunway, Taman Puchong Permai dan Petaling Jaya itu membawa rampasan pelbagai barang kes antaranya lapan telefon bimbit, kad bank, sebuah motosikal selain kunci kenderaan.

"Turut dirampas adalah peralatan dipercayai diguna untuk lakukan samun seperti pemutar skru, spanar, playar serta pisau," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek terlibat dalam enam kes samun dan pecah rumah di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Katanya, suspek juga dipercayai terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 12 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Tambah beliau, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang dan segera menyalurkan maklumat kejadian jenayah melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya).

Artikel Berkaitan:

Polis sebelum itu menerima panggilan pada hari yang sama daripada seorang wanita berusia 43 tahun menyatakan rumahnya di Subang Jaya telah dimasuki dua suspek kira-kira jam 4.20 pagi. Salah seorang suspek juga telah mencederakan jiran mangsa yang datang membantu.