Gabungan NGO jemput Tengku Zafrul sertai sesi dialog CPTPP

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Kedaulatan Negara menghantar jemputan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi menyertai sesi dialog berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 16 Januri depan atau mana-mana tarikh yang bersesuaian secepat mungkin.

Kumpulan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam kenyataan berkata, jemputan sesi dialog tersebut susulan kenyataan Tengku Zafrul dalam sebuah program temu bual pada Khamis bahawa terdapat beberapa kebimbangan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak berkaitan CPTPP.

“Namun hakikatnya, selama ini tiada maklum balas terperinci daripada pihak MITI mengenai kebimbangan yang ditimbulkan daripada pelbagai pihak tersebut.

“Malah di Parlimen, sama seperti apa yang disebut oleh Menteri MITI, jawapan daripada bekas Menteri MITI adalah bersifat umum dan penuh dengan jaminan tetapi tidak pernah secara langsung menjawab pelbagai kebimbangan tersebut secara khusus dan berfakta.

“Memorandum-memorandum yang diserahkan kepada setiap kerajaan termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan sekarang Kerajaan Perpaduan selama ini menunjukkan bahawa peruntukan khusus dan komitmen Malaysia di bawah CPTPP, secara keseluruhannya, mengurangkan kebebasan negara untuk membuat dan melaksanakan dasar bagi manfaat rakyat,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Pada Khamis, Tengku Zafrul berkata, kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited terhadap penyertaan negara dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang berkuat kuasa pada 29 November 2022 di Malaysia.

"Jelas sekali terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai kumpulan dan kami telah menanganinya dengan mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan beberapa kebimbangan, jadi kami sangat komited untuk menyertainya," katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Gabungan Kedaulatan Negara, analisis kos dan faedah (CBA) yang diterbitkan oleh MITI pada Julai 2022 dengan jelas menyatakan bahawa kajian itu berteraskan andaian bahawa dunia kekal sama seperti pada 2021 ketika kajian itu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Tambahannya, skop CBA oleh MITI juga tidak menyeluruh. Kami tidak faham bagaimana ia boleh menjadi asas untuk Kerajaan memutuskan bahawa manfaat CPTPP jauh melebihi kosnya.

“Komitmen yang mengikat secara sah di bawah CPTPP telah dimuktamadkan kali yang terakhir pada 2015. Dunia telah berubah secara drastik sejak itu,” jelas kenyataan tersebut.