Agong berkenan sertai sesi bersama delegasi Fujian

A
A
A

Yang di-Pertuan Agong (lapan dari kanan) berkenan berangkat ke sesi perkongsian perniagaan bersama Pengarah LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San, dan delegasi dari China, TYT Zhou Zuyi dan Zhou Kanfen, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di sini.
Yang di-Pertuan Agong (lapan dari kanan) berkenan berangkat ke sesi perkongsian perniagaan bersama Pengarah LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San, dan delegasi dari China, TYT Zhou Zuyi dan Zhou Kanfen, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di sini.

SHAH ALAM - Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyertai sesi perkongsian perniagaan dengan delegasi Fujian, China.

Sesi perkongsian perniagaan itu diadakan dalam satu majlis minum petang yang diadakan pada 14 Mei lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di sini, dengan dihadiri pemimpin kanan dari kerajaan Fujian.

Pada majlis itu, Baginda bertitah tentang kestabilan politik Malaysia kini dan menjemput pelabur China untuk meneroka potensi pelaburan di Malaysia memandangkan hubungan baik kedua-dua negara.

Kerajaan Fujian turut menyuarakan minat khusus daripada pelabur China untuk melabur di Malaysia dalam industri yang berkaitan.

Sesi perkongsian dengan pemimpin kanan dari Kerajaan Fujian, China itu adalah lawatan timbal balik ke Malaysia berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada April lalu.

Dalam sesi perkongsian berasingan yang diadakan pada hari yang sama, syarikat pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) turut terlibat dengan mesyuarat delegasi Kerajaan Fujian yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Antara intipati perbincangan ialah menyentuh tentang prospek kerjasama yang akan diterokai, dengan tumpuan khusus kepada pembangunan Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka (M-WEZ).

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San (kiri) bersama Setiausaha Jawatankuasa Wilayah PKC Fujian dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Fujian, Zhou Zuyi, bergambar kenangan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan (kanan) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di sini.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San (kiri) bersama Setiausaha Jawatankuasa Wilayah PKC Fujian dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Fujian, Zhou Zuyi, bergambar kenangan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan (kanan) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di sini.

LBS melalui anak syarikatnya, Leaptec Engineering Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan kerajaan Melaka untuk membangunkan 1,200 ekar tanah di M-WEZ.

Ketua Menteri Melaka seterusnya menyatakan kesediaan beliau dan kerajaan negeri untuk terus mempromosikan Melaka kepada pemimpin utama China bagi memacu kestabilan ekonomi.

Pada majlis itu, LBS diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir. Lim Hock San serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan.

Delegasi dari China pula diwakili Setiausaha Jawatankuasa Wilayah PKC Fujian dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Fujian, Zhou Zuyi dan Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Wilayah PKC Fujian dan Ketua Pengarah Pejabat Am Jawatankuasa Wilayah CPC Fujian, Zhou Kuanfen.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata,pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong di atas kesudian baginda berangkat dan menyerikan majlis jamuan minum petang tersebut.

“Pertemuan ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan China. LBS positif bahawa China akan terus memainkan peranan besar dalam pembangunan dan kemajuan negara kita bergerak ke hadapan.

“Kami berharap dapat melihat peningkatan jumlah usaha sama dan kerjasama antara Malaysia dan China pada masa akan datang,”katanya.

Terdahulu pada April lalu, semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, sebanyak 19 Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) telah dimeterai di antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat China dengan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China ke Malaysia.