Cubaan tumbangkan Hajiji timbul selepas PRU15

Rina
Rina
A
A
A
KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal mendakwa cubaan untuk menumbangkan kerajaan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mula timbul selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Beliau berkata, Sabah sekali lagi digemparkan dengan berita yang dilihat akan membawa kepada perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri.

"Umum mengetahui terdapat gerakan gabungan parti baharu yang mendakwa mendapat sokongan undi majoriti akuan bersumpah (SD) ADUN di Sabah, ditangguh dipercayai atas sebab sokongan yang dihebohkan tidak mencukup (majoriti mudah).

"Sebenarnya perkara ini bukan perkara mengejutkan memandangkan bukan saja dalam kalangan ADUN, malah rakyat juga boleh menjangka perkara ini yang digelar 'Langkah Kinabalu'.

"Perkara ini mula timbul selepas PRU15 yang lalu. Lebih-lebih lagi selepas pengumuman Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Disusuli pula dengan barisan kabinet yang ternyata menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak walaupun mereka sebenarnya berada di blok kerajaan di peringkat Persekutuan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rina yang juga Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah berkata, sebaik pertukaran pucuk pimpinan di Putrajaya, maka Sabah dilihat negeri paling sesuai untuk diganggu pentadbirannya oleh pihak berkaitan.

"Hampir setiap hari akan ada saja kenyataan media daripada individu berlainan (tetapi daripada parti yang sama) mengeluarkan kenyataan mengenai kreadibiliti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mana saya sifatkan lebih kepada cubaan menimbulkan persepsi untuk mewujudkan keraguan terhadap kepimpinan negeri, namun terus dipandang sepi oleh rakyat Sabah.

"Jika benar berlaku perubahan kuasa di Sabah seperti yang didakwa kumpulan ini, ia bukan sahaja memberi impak kepada Sabah dan rakyatnya, sebaliknya memberi imej yang kurang baik terhadap Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep Kerajaan Perpaduan. Ia secara tidak langsung boleh mencalarkan imej konsep Kerajaan Perpaduan yang ada," katanya.

Rina dalam pada itu turut mempersoalkan adakah tindakan yang dilakukan oleh pihak berkaitan cubaan untuk merampas kerajaan adakah demi rakyat.

Artikel Berkaitan:


"Malah pada PRU15, salah satu daripada parti berkenaan hanya menang tiga daripada 52 kerusi Parlimen seluruh negara. Beberapa calon kuat mereka juga terpaksa akur dengan pilihan rakyat yang jelas menolak mereka dengan memilih calon parti lain.

"Bukankah ini petanda jelas parti nasional berkenaan semakin ditolak rakyat Sabah. Mungkin ada yang menempelak bahawa saya juga bermula daripada parti lain sebelum berhijrah ke Parti Harapan Rakyat Sabah.

"Namun, tindakan saya pada Jun lalu itu tidak memberi kesan terhadap perubahan tampuk pemerintahan negeri, sebaliknya menyaksikan pembangunan di Kukusan dapat dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi meminta semua pihak fokus terhadap pembangunan negeri selepas PRU15.

"Saya percaya, majoriti rakyat Sabah juga mahukan perkara yang sama, bukannya mahu melihat kita sering bertukar kepimpinan.

"Ia penting dalam kita membuktikan bahawa kedaulatan Sabah tidak mudah digugat oleh sesiapa pun," tegasnya.