Keadaan politik di Sabah tenang - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi politik di Sabah tenang dan tiada perubahan dalam kepimpinan negeri pada masa ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beliau mendapat gambaran mengenai keadaan politik di Sabah selepas menghubungi Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Anwar berkata, perkara tersebut juga sudah dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

"Nampak keadaan tenang sementara ini dan saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan menerusi WhatsApp kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan berlaku perubahan dalam kerajaan Sabah, Anwar berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

"Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan, cuma dimaklumkan ada beberapa isu dan saya minta Ketua Menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di negeri Sabah,” katanya.

Sebelum ini, terdapat pihak tertentu yang mendakwa memperoleh sokongan lebih separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN, melibatkan 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), Pakatan Harapan (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga) dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Bangsa Malaysia, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Sementara itu, ditanya mengenai khabar angin berhubung ‘Langkah London’ bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan diterajuinya, Anwar secara berseloroh berkata: "Langkah London jauh sangat, patut murah lagi, dibuat Langkah Kajang.”

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kononnya terdapat gerakan cuba menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, melibatkan beberapa pemimpin politik termasuk daripada UMNO dan pemimpin parti pembangkang.

Pemimpin terbabit dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London, baru-baru ini. - Bernama