Najib berhak failkan petisyen ke PBB

Gambar kecil: Ummu Atiyah
Gambar kecil: Ummu Atiyah
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak untuk memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) berhubung rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Kedah, Profesor Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, beliau boleh menggunakan peluang ini untuk membersihkan namanya.

Menurutnya, mandat UNWGAD boleh menerima aduan daripada individu yang merasakan wujud ketidakadilan sewenang-wenangnya sama ada sebelum, semasa atau selepas proses pengadilan itu berlaku.

"Maka melihat kepada perkara ini, pasukan peguambela Najib telah mengambil peluang perundangan yang ada dan menggunakan alasan tidak diberikan tempoh mencukupi di dalam pembelaan sebelum ini.

"Pada mereka, itu adalah satu ketidakadilan buat anak guam dan pasukan. Ini dijadikan sebagai asas bagi memfailkan petisyen ke UNWGAD," katanya pada Jumaat.

Sinar Harian melaporkan Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu memohon lima pakar keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, prosiding Mahkamah Persekutuan juga gagal memberi peluang kepada Najib untuk berhujah sewaktu rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun.

Tambah Ummu Atiyah, sekarang terserah kepada UNWGAD, yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan bertauliah dan begitu banyak pengalaman untuk menimbang tara dan mampu menentukan hala tuju kes ini.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat lima ahli di dalam UNWGAD sekarang iaitu dari Ecuador, Zambia, Malaysia, New Zealand dan Ukraine," jelasnya.