MAINPP masih terbuka adakan perbincangan

Gambar kecil: Ahmad Zakiyuddin
Gambar kecil: Ahmad Zakiyuddin
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Hanya tiga atau empat daripada 15 masjid yang dikenal pasti membuat bantahan mengenai isu pengguguran nama pengerusi kariah sebelum ini belum mencapai sebarang kata putus.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pengurusan masjid yang membuat bantahan.

Malah katanya, MAINPP juga memberikan tempoh maksimum sehingga dua bulan kepada pengurusan masjid yang berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu ini.

"Kita telah bermesyuarat dan menilai bantahan-bantahan yang dibuat oleh sesetengah masjid dan selepas meneliti semua bantahan itu, kita ambil keputusan untuk kekalkan keputusan yang kita buat sebelum ini (menggugurkan nama pengerusi kariah).

"Kita ada asas tertentu dalam membuat keputusan itu, yang pastinya demi kebaikan masa depan pihak masjid berkenaan. Kita harap agar pihak yang tidak berpuas hati boleh menerima keputusan MAINPP dan hentikan bantahan termasuk turunkan 'banner' berkaitan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak pada Jumaat.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, berdasarkan penelitian, rata-rata pengurusan masjid yang membuat bantahan atau menolak keputusan MAINPP sebenarnya gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuk masih mencadangkan pengerusi kariah masjid yang melangkaui usia 65 tahun.

"Ini bertentangan dengan hasrat MAINPP iaitu untuk 'meremajakan' pengurusan jawatankuasa masjid itu sendiri.

"Jadi, kita bertegas dengan isu umur ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MAINPP mempunyai kuasa melantik mana-mana anak kariah menjadi ahli jawatankuasa masjid di bawah Tatacara 9.1 Pemilihan Calon Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang 2023-2025 dan Kaedah 4(2) Kaedah 1997.

Bagaimanapun jelasnya, MAINPP tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan klausa-klausa itu dalam menolak atau melantik mana-mana calon.

Sebaliknya beliau berkata, calon pengganti yang telah dipilih kesemuanya juga adalah daripada senarai yang dipilih melalui mesyuarat pemilihan calon AJK Kariah.

Sebelum ini, Rasuah Busters Pulau Pinang mempertikaikan ‘campur tangan’ atau penglibatan pihak tertentu dalam proses pemilihan ahli jawatankuasa di beberapa buah masjid di negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pulau Pinang, Zikrullah Ismail berkata, isu tersebut begitu hangat pada masa ini apabila ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dipilih oleh ahli kariah menerusi sistem pemilihan secara demokrasi telah ditolak oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).