Tukang masak Bangladesh dituduh bunuh pesakit psikiatri

Mohammad Abdul Alim (baju lokap) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.
Mohammad Abdul Alim (baju lokap) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang tukang masak warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang pesakit psikiatri, Disember lalu.

Mohammad Abdul Alim, 33, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Leong Kam Ming, 52, di rumah jagaan psikiatri di Rawang antara jam 6 hingga 6.30 petang, 24 Disember 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam mahkamah sama, Mohammad Abdul Alim mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memasuki dan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah di lokasi sama,pada jam 2.23 pagi, 27 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan boleh dihukum bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua–duanya dan sebatan tidak lebih daripada enam kali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula.

Pada 29 Disember, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang penghuni rumah jagaan psikiatri iaitu tempat suspek bekerja di Jalan Cempaka, Bukit Beruntung di sini pada Selasa.