Pembantu pusat jagaan ditahan disyaki bunuh pesakit mental

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang pekerja warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang penghuni rumah jagaan psikiatri iaitu tempat suspek bekerja di Jalan Cempaka, Bukit Beruntung di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang pekerja rumah jagaan berkenaan sekitar jam 12.18 tengah hari, pada Ahad.

"Mangsa merupakan lelaki warga tempatan, salah seorang pesakit mental di pusat jagaan berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam biliknya sekitar jam 8.45 pagi.

"Pengadu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja di pusat jagaan berkenaan telah menghubungi talian 999 seterusnya seorang pembantu perubatan telah mengesahkan kematian mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Suffian berkata, mangsa ditemui dengan kesan lebam pada tubuhnya yang dipercayai berpunca daripada impak objek tumpul manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Hulu Selangor berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun dalam satu serbuan di lokasi kejadian.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan ujian urin terhadapnya adalah negatif.

"Suspek yang bekerja sebagai pembantu di pusat jagaan berkenaan direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: