Pengarah syarikat didakwa pecah amanah RM602,000

Siew Moi (kanan) dan suaminya, Ching Peng hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes salah guna harta dan pecah amanah, bermula 2020 hingga 2021.
Siew Moi (kanan) dan suaminya, Ching Peng hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan kes salah guna harta dan pecah amanah, bermula 2020 hingga 2021.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang Pengarah Syarikat Rekabina Construction Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas 18 pertuduhan utama termasuk sembilan pilihan, kes salah guna harta dan pecah amanah berjumlah RM602,000, pada 2020 hingga 2021 lalu.

Tan Siew Moi, 57, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut enam pertuduhan utama, ibu kepada tiga anak itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang sejumlah RM382,000 daripada akaun OCBC Al-Amin milik Syarikat Rekabina Construction, di bank sama, pada 3 Disember 2020 hingga 8 Oktober 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi enam pertuduhan pilihan, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang syarikat berjumlah sama melalui cek atas namanya, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Siew Moi dan suaminya yang juga Ketua Operasi Syarikat Rekabina Construction, Tan Ching Peng, 60, didakwa secara bersama atas tiga pertuduhan utama, menyalahgunakan harta atas nama Ching Peng berjumlah RM220,000 daripada akaun OCBC Al-Amin milik sebuah syarikat.

Kesalahan didakwa dilakukan di bank tersebut di Kota Kemuning, pada 21 Disember 2020 hingga 30 September 2021.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan, dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut tiga pertuduhan pilihan, Ching Peng dan Siew Moi sebagai penandatangan cek bagi akaun OCBC Al-Amin atas nama syarikat itu, dituduh melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang melalui cek dengan jumlah sama, atas nama tertuduh, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairudin mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

“Ia termasuk tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat pada setiap awal bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Asmadi Hussin yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar minimum.

“Ketika ini, syarikat itu merupakan kontraktor utama menjalankan projek pembinaan di Selayang dan mereka masih bertanggungjawab terhadap syarikat terbabit,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan Siew Moi diikat jamin sebanyak RM80,000 manakala Ching Peng sebanyak RM30,000 dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.