Polis luaskan kawasan pencarian Zahiruddin

Kehilangan Mohd Zahiruddin dihebahkan melalui Nur Alert. Gambar kecil: Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff
Kehilangan Mohd Zahiruddin dihebahkan melalui Nur Alert. Gambar kecil: Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff
A
A
A

KAJANG - Polis masih menjalankan usaha mencari kanak-kanak dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra di sini semalam.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, lokasi pencarian kini diluaskan di sekitar kawasan Kajang.

Menurutnya, usaha mencari masih giat dijalankan oleh pihak polis sehingga kini dan siasatan lanjut berhubung kehilangan ini masih lagi dalam siasatan.

"Lokasi pencarian kanak-kanak ini melibatkan seluruh kawasan Kajang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Katanya lagi, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan daripada keluarga dan rakan mangsa.

"Polis telah ambil keterangan daripada keluarga dan rakan mangsa, dan masa sama, polis berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kanak-kanak ini agar segera tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Muhammad Zahiruddin Putra hilang selepas keluar dari rumahnya untuk bermain di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra dekat sini, petang semalam.

Ibu mangsa Sainih Sunding, 46, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak ke sekolah semalam dan keluar untuk bermain dengan rakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ayah kanak-kanak ini, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 51, berkata, sehingga kini usaha mencari anaknya diteruskan tanpa henti.

"Saya ada juga mencari dia di rumah rakan-rakannya di sekitar kawasan ini, kalau rumah saudara itu tidak lagi sebab masing-masing tinggal jauh dari sini.

"Apa pun saya harap anak saya segera ditemui," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak lelaki lapan tahun hilang selepas keluar rumah