Sampai bila mahu berniaga 'curi-curi'

DBKL melancarkan operasi membanteras penjaja tanpa lesen atau 'penjaja rambo' di sekitar Jalan Raja Laut di ibu negara. Foto hiasan
DBKL melancarkan operasi membanteras penjaja tanpa lesen atau 'penjaja rambo' di sekitar Jalan Raja Laut di ibu negara. Foto hiasan
A
A
A

ISU penjaja ‘rambo’ bukanlah isu baharu. Jika dilihat di mana-mana negeri pun terdapat peniaga yang menjalankan perniagaan secara haram.

Penjajaan yang dijalankan secara ‘rambo’ merupakan istilah yang digunakan untuk menggantikan penjajaan haram atau lebih tepat lagi perniagaan tanpa lesen.

Ia dilakukan antara ruang atau di lokasi yang terdapat aktiviti penjajaan berlesen sama ada di atas siar kaki, hadapan premis, petak parkir atau di atas jalan.

Rata-rata penjaja ‘rambo’ menjalankan perniagaan itu disebabkan mereka tiada pilihan kerana perlu mencari nafkah demi kelangsungan hidup.

Seorang peniaga di Kuala Lumpur, Hairi Barhan berkata, sepanjang 10 tahun berniaga, dia merasai pengalaman enam kali jualan kena sita, namun terpaksa meneruskan perniagaan itu kerana punca rezekinya untuk menyara keluarga.

“Saya nak mohon permit tapi tiada permit menjaja bergerak seperti ini. Takkan saya nak sewa kedai hanya untuk jual aiskrim sahaja, tak pulang modal,” ujarnya.

Begitu juga dengan seorang lagi peniaga, Anita Lajis yang mengatakan aktiviti menjaja adalah punca rezekinya untuk keluar daripada hidup sebagai gelandangan.

“Saya tidak salahkan penguat kuasa, mereka hanya menjalankan tugas namun saya juga tiada pilihan terpaksa juga menjaja untuk meneruskan hidup,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, peniaga yang menjalankan perniagaan secara haram perlu mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan. Negara mempunyai undang-undang, jadi mereka perlu ikut saluran yang betul.

Menurut Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, permohonan bagi mendapatkan lesen boleh diluluskan serta-merta asalkan pemohon memberi dokumen-dokumen yang diperlukan dengan lengkap.

Mohd Noorazam berkata, kebanyakan peniaga tidak mahu membuat permohonan disebabkan perlu mendapatkan suntikan tifoid.

Tifoid penting atas sebab kesihatan kerana penjaja kebiasaannya menjual makanan kepada orang ramai dan jaminan keselamatan perlu diutamakan.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI), Sharul Baha Abdul Rahman pula berkata, kehadiran penjaja ‘rambo’ boleh membahayakan kesihatan orang ramai disebabkan mereka tidak menjalani kursus atau mendapatkan suntikan tifoid dalam mengendalikan makanan.

Dari segi penguatkuasaan pula, kebiasaannya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi amaran terlebih dahulu kepada penjaja ‘rambo’ ketika diserbu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Tidak semua PBT bertindak tegas terhadap mereka. Ada peniaga yang mendapat lesen sah hasil daripada tunjuk ajar pihak berkuasa.

Ia terbukti apabila salah seorang peniaga dari Johor Bahru, Fauzi Jamhari yang berniaga ‘lari-lari’ dan pernah disaman dua kali oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana tidak mempunyai lesen penjaja dan lokasi sah akhirnya memperoleh lesen berniaga.

Menurut Fauzi, peristiwa dia disaman itu telah membuka ‘peluang’ perniagaan baharu buatnya apabila MBJB memberi nasihat untuk memohon lesen dan seterusnya memohon tapak, selain mengikuti kursus yang disediakan.

Malah katanya, pihak MBJB turut mengajarnya mengenai kaedah-kaedah yang betul untuk memohon lesen termasuk memohon tapak sesuai bagi tujuan sewaan.

Selepas kejadian tersebut, dia kini sudah memiliki lesen untuk berniaga yang perlu diperbaharui setiap tahun, selain tapak sewa di Larkin yang perlu diperbaharui setiap dua bulan sekali.

Bagi menangani lambakan peniaga tidak berlesen, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman mencadangkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kreatif dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Penjaja akan terus menjalankan perniagaan walaupun barangan telah berkali-kali disita kerana itu adalah sumber pendapatan mereka.

Menurutnya, penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah penjaja ‘rambo’ adalah dengan menyediakan lot untuk berniaga kepada mereka.

Justeru, kepada peniaga yang masih menjalankan perniagaan secara haram, mereka dinasihatkan supaya segera memohon lesen dengan PBT di negeri masing-masing.

Sampai bila mahu berniaga secara ‘curi-curi’. Sememangnya rata-rata dalam kalangan mereka ingin mencari ‘duit lebih’ atau duit sampingan tetapi perlu diambil kira juga keberkatan keuntungan yang diperoleh setiap hari.

*Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian