'Tunggu PRN berikutnya untuk ambil alih pentadbiran Sabah'

Joniston
Joniston
A
A
A

KOTA KINABALU - Mana-mana pihak yang berhasrat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Sabah perlu menunggu Pilihan Raya Negeri akan datang bagi menentukan sama ada mereka mempunyai sokongan rakyat atau sebaliknya.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, justeru ketika ini, tumpuan seharusnya diberikan kepada langkah mempercepat serta mempergiat usaha membangunkan negeri dan bukan merancang untuk menjatuhkan kerajaan semasa.

Beliau berkata, sebarang langkah tidak wajar yang mampu menyebabkan ketidakstabilan politik di Sabah hendaklah dielakkan dan sebaliknya semua pihak perlu memfokus kepada usaha memperkukuh perpaduan.

"Janganlah kita mengganggu-gugat usaha yang baik dan produktif kerajaan semasa. Amat dikesali terdapat pihak yang dilihat tidak henti-henti cuba menggugat kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor," menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu dalam kenyataan malam Khamis.

Joniston berkata, di bawah kepimpinan Hajiji yang berwibawa, Sabah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang luar biasa termasuk mencatatkan hasil negeri tertinggi sebanyak RM6.6 bilion pada 2022.

"Selain itu, peruntukan tahunan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri tahun ini telah dinaikkan kepada RM3 juta dengan RM2.5 juta diperuntuk bagi projek kecil manakala RM500,000 untuk program touch point," katanya.

Pada Rabu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gabungan itu sedia membuktikan keabsahan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas ada pihak tertentu mendakwa mereka memiliki sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu. - Bernama

Artikel Berkaitan: