Perkeso Terengganu dakwa 30 majikan culas sepanjang 2022

Farihah (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada waris mangsa lemas Allahyarham Abdul Wahab Mat Sulaiman di Kampung Durian Telor, Hulu Besut, pada Khamis. - Foto Bernama
Farihah (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada waris mangsa lemas Allahyarham Abdul Wahab Mat Sulaiman di Kampung Durian Telor, Hulu Besut, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendakwa seramai 30 majikan di negeri ini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sepanjang tahun lepas.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, antara kesalahan majikan ialah gagal mendaftar pekerja, gagal melaporkan kemalangan dan gagal membayar caruman dengan kebanyakannya diperintah membayar denda hingga RM3,000 bagi setiap kesalahan.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menyampaikan faedah kepada waris mangsa lemas, Allahyarham Abdul Wahab Mat Sulaiman di rumah keluarganya di Kampung Durian Telor, di Hulu Besut, dekat sini pada Khamis berkata, Perkeso mengambil tindakan tegas bagi memastikan majikan mematuhi peraturan melalui pemantauan atau mengadakan operasi secara berkala di semua sektor pekerjaan.

Terdahulu, Farihah menyerahkan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 selain pencen penakat berbentuk pencen bulanan seumur hidup untuk ibu bapa Abdul Wahab manakala adik-beradiknya akan menerima pencen hingga berusia 21 tahun.

Abdul Wahab, 27, dijumpai lemas pada 25 Disember lepas susulan terjatuh semasa membaiki paip air di Lata Tembakah di sini.

"Waris layak menerima faedah tersebut kerana majikan arwah termasuk bekas majikan di beberapa syarikat tempat arwah pernah bekerja dulu telah mencarum untuk arwah,” katanya.

Dalam pada, beliau berkata, Perkeso Terengganu telah membayar keseluruhan pembayaran faedah sebanyak RM21.6 juta membabitkan 14,117 kes pada tahun lepas merangkumi pelbagai kategori. - Bernama

Artikel Berkaitan: