Negara lain sudah sekat pelancong China - Mohd Amar

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kelantan mencadangkan agar kerajaan melaksanakan kawalan kemasukan pelancong China ke negara ini susulan peningkatan kes Covid-19.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak sepatutnya mengulangi kesilapan lalu dengan membiarkan pelancong masuk secara bebas tanpa sebarang kawalan.

Menurutnya, cadangan itu juga berikutan beberapa negara sudah membuat keputusan mengawal kemasukan pelancong dari China.

"Mana lebih penting pendapatan melalui pelancong dengan keselamatan rakyat.

"Saya membaca laporan mengenai peningkatan Covid-19. Jika perlu mereka ini dikenakan syarat ketat seperti memiliki sijil vaksinasi dan bukti kesihatan selain jangan hanya mengimbas suhu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Amanat Khas Tahun Baharu Menteri Besar Kelantan dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut melancarkan buku bertajuk Nazhafah Diri dan Integriti: Ahmad Yakob oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Menurut Mohd Amar, rakyat mengalami kesan ekonomi yang teruk dalam tempoh dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri tidak boleh mendahului keputusan kerajaan Persekutuan dengan melaksanakan tindakan tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini mereka (kerajaan Persekutuan) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai projek pembangunan di bawah kerajaan Persekutuan yang tergendala di Kelantan, Mohd Amar tidak menafikan perkara itu berlaku kerana beberapa faktor.

"Antaranya melibatkan masalah kontraktor dan kita minta kerajaan Persekutuan memberi perhatian supaya semua projek tergendala dapat disiapkan untuk kemudahan rakyat," katanya.

Beliau turut memaklumkan berkaitan masalah banjir bahawa pihaknya sudah mengarahkan agensi terlibat mengenal pasti kawasan berkenaan.

"Laporan sudah dibuat dengan jumlah peruntukan tertentu dan kita membuat keputusan supaya diambil tindakan terutama di kawasan yang kritikal.

"Sehingga kini sebanyak lima daripada 10 kawasan sudah diambil tindakan," katanya.