Kerajaan perlu tangani persepsi negatif pelabur

Gambar kecil: Ahmad Amzad Hashim
Gambar kecil: Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu menangani ketidakyakinan pelabur luar terhadap keteguhan ekonomi negara dan kemampuan kerajaan sedia bagi memastikan ekonomi negara terus mampan dan berdaya saing.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, jika berlaku salah laku kerajaan lama ia wajar diserahkan kepada pihak berkuasa dan bukannya meneruskan polemik politik kepartian yang membuang masa dan fokus dari kerja sebenar mengurus negara.

"Walaupun tadbir urus yang baik adalah intipati prinsip utama kerajaan persekutuan hari ini, tidak semua perkara boleh diuar-uarkan kepada masyarakat awam atas nama ketelusan demi menjaga sentimen pasaran

"Kabinet seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi isyarat negatif dan mengurangkan kepercayaan pelabur," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai contoh pengumuman mengejut pemindahan aset Tabung Haji (TH) kepada SPV pada Disember tahun lalu menyebabkan nilai 10 syarikat terbesar milik institusi itu merosot RM607 juta dalam tempoh seminggu.

"Saya fikir pembangkang pun sedia memberi kerjasama bagi menjayakan matlamat Perdana Menteri memulihkan ekonomi negara.

"Ini antara intipati budaya politik matang dan sejahtera yang semakin difahami rakyat. Mereka sudah muak dengan politik 'ala rimba' yang sarat dengan fitnah dan mengadu domba," katanya.

Ahmad Amzad berkata, beliau tertarik dengan laporan portal ekonomi antarabangsa, Bloomberg yang menggelarkan pasaran saham Malaysia sebagai 'World's Worst Major Stock Market 2019'.

Artikel Berkaitan:

"Ppasaran saham BSKL merosot 14 peratus sejak Mei 2018 dan 3.5 peratus pada 2019. Kemerosotan ketara ini sudah tentu tidak baik kepada ekonomi.

"Ia memberi kesan langsung kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membuat pelaburan aktif di dalam pasaran saham seperti KWSP, Khazanah, Tabung Haji, PNB," katanya.

Menurutnya, kemerosoran pasaran itu sudah tentu akan menjejaskan pulangan dividen kepada pencarum dan rakyat keseluruhan pada tahun-tahun akan datang.

"Memburukkan lagi keadaan adalah apabila sebuah firma pengurusan dana terkemuka Asia pula mengeluarkan kenyataan bahawa pasaran saham Malaysia adalah 'membosankan'.

"Kenyataan ini sudah tentu berdasarkan prestasi BSKL yang lemah dan akan memberi kesan kepada persepsi pelabur luar," katanya.