[VIDEO] Kedah tidak rugi apa-apa, masyarakat selamat - MB

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak terkesan dengan pelaksanaan undang-undang menghentikan operasi premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu, walaupun sektor berkenaan menyumbang pendapatan kira-kira RM400,000 setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan terbabit juga tidak akan berubah walaupun kerajaan negeri berupaya meraih sehingga jutaan ringgit sekali pun.

Katanya, Ini kerana kesan aktiviti judi kepada masyarakat lebih teruk untuk diatasi termasuk memecah belahkan institusi kekeluargaan.

"Saya dah tengok pada tahun 2021 keseluruhan pendapatan kepada kerajaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk premis-premis perjudian hanya sekitar RM400,000 setahun sahaja.

"Kalau RM400 juta pun saya nak henti juga, ini kan pula RM400,000 lagi kena henti kerana kesan dia buruk dan teruk," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa kerugian selain tidak akan melayan apa-apa desakan untuk mengkaji semula langkah itu.

"Takdak kerugian apa-apa, malah ada untungnya (kerana) masyarakat kita selamat, Insya-ALLAH tindakan itu saya harap dapat sokongan dan Allah SWT berkati usaha yang kita buat ini kerana ianya selari dengan tuntutan Allah SWT.

“Allah akan tolong kita dapat hasil lebih banyak daripada sumber yang lain di samping dapat selamatkan masyarakat kita daripada kerosakan disebabkan perjudian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bermula 1 Januari 2023, Kedah menghentikan pengeluaran lesen baharu kepada kesemua premis perjudian dan loteri di seluruh negeri setelah memutuskan perkara itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), November 2021.