Autonomi penuh mampu kurangkan kerenah birokrasi

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan Kerajaan Persekutuan memberikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak untuk projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta akan dapat mengurangkan kerenah birokrasi yang rumit sebelum ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan itu berkata, ia sudah pasti akan membantu dari segi kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

"Ini adalah satu lagi berita baik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyerahan kuasa mengawal selia sumber gas kita.

"Ia juga pasti membantu dalam meluluskan dan melaksanakan projek pembangunan yang sentiasa terhalang oleh birokrasi yang rumit sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut menyifatkan keputusan itu sebagai satu berita baik menurut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hajiji dalam pada itu turut mendedahkan bahawa beliau dan rakan sejawatnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi memuktamadkan beberapa perkara di bawah MA63 termasuk berkaitan isu geran khas.

Malah, beliau turut memaklumkan bahawa jawatankuasa kerja dan kajian semula mengenai MA63 akan diteruskan di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya lagi, berita baik lain yang dijangka diperoleh Sabah ialah mengenai peruntukan tambahan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo supaya pembinaannya dipercepatkan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan mana-mana projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan Anwar menerusi satu sidang akhbar selepas dipersetujui oleh Kementerian Kewangan selaras dengan MA63.