TFC lengkapkan kuota pemain import musim 2023

TFC lengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani kontrak dua pemain dari Croatia, Domigoj Pusic (kanan) dan Ivan Mamut. - Foto Bernama
TFC lengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani kontrak dua pemain dari Croatia, Domigoj Pusic (kanan) dan Ivan Mamut. - Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN naib juara Piala FA, Terengganu FC (TFC) melengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani kontrak dengan dua pemain dari Croatia.

Pemain tersebut, Domigoj Pusic, 32, akan beraksi di posisi tengah menggantikan Manuel Ott manakala Ivan Mamut, 26, melengkapkan kuota di posisi serangan yang sebelum ini diisi bekas pemain penyerang kebangsaan Liberia, Kpah Sherman yang dikhabarkan beralih angin ke pasukan Sri Pahang FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh berkata, kedua-dua pemain yang pertama kali beraksi di negara Asia itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Penyu bagi mengharungi saingan Liga-M dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim 2023.

"Pusic yang sebelum ini beraksi bersama kelab NK BSK Bijelo Brdo akan menyarung jersi nombor lapan manakala Mamut akan memakai jersi nombor tujuh.

"Kelebihan fizikal daripada segi ketinggian antara faktor kedua-dua pemain ini menjadi pilihan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk diserap ke skuad TFC," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ab Rasid berkata, kedua-dua pemain berkenaan sudah berada di Terengganu dan akan mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kompleks Gong Badak, hari ini.

Menurut beliau, kehadiran dua pemain tersebut diharap dapat membawa TFC ke peringkat lebih gemilang selepas berjaya mara ke pentas akhir Piala FA dan Piala AFC musim lepas.

"Walaupun kedua-dua pemain ini kurang pengalaman dan pengetahuan mengenai perkembangan bola sepak Asia Tenggara, namun mereka tetap teruja untuk beraksi di Liga-M," katanya.

Artikel Berkaitan:

TFCSB sebelum ini turut menandatangani kontrak dengan tiga lagi pemain import iaitu Sardor Kulmatov, Sony Norde, Adisak Kraisorn selain mengekalkan Habib Haroon. - Bernama