Banjir: Pahang negeri pertama miliki bot amfibia

Pembelian bot jenis amfibia dibuat selepas kajian mendapati aset itu terbukti boleh membantu sekiranya banjir berlaku. - Foto Pahang Media
Pembelian bot jenis amfibia dibuat selepas kajian mendapati aset itu terbukti boleh membantu sekiranya banjir berlaku. - Foto Pahang Media
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang kini memiliki dua bot amfibia bernilai RM1.8 juta untuk kegunaan membantu mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku di negeri berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui perolehan aset tersebut, Pahang menjadi negeri pertama memiliki bot jenis itu.

Menurutnya, pembelian bot amfibia tersebut antara perancangan di bawah peruntukan RM47 juta yang diperuntukkan tahun lalu bagi menghadapi bencana banjir di Pahang.

“Kajian telah dibuat sebelum pembelian bot ini dan ia terbukti boleh membantu sekiranya banjir berlaku.

“Untuk makluman, Pahang adalah negeri pertama yang membeli bot jenis amfibia dan tujuannya, bila menghadapi musim banjir kita mempunyai kekuatan peralatan untuk membantu mangsa yang terjejas,” katanya.

Wan Rosdy meninjau bot amfibia yang dimiliki kerajaan negeri ketika Majlis Penyerahan dan Handbook Pengurusan Banjir Pahang di pekarangan Kompleks MBK pada Rabu. - Foto Pahang Media
Wan Rosdy meninjau bot amfibia yang dimiliki kerajaan negeri ketika Majlis Penyerahan dan Handbook Pengurusan Banjir Pahang di pekarangan Kompleks MBK pada Rabu. - Foto Pahang Media

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bot Amfibia dan Handbook Pengurusan Banjir Pahang di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam(PA) Che Adam A Rahman.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, bot amfibia berkenaan akan diuruskan APM Pahang yang telah menerima latihan lengkap bagi mengendalikan bot dilengkapi teknologi terkini itu.

Wan Rosdy juga telah mengadakan mesyuarat pembangunan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai bagi membincangkan penyelesaian untuk mengatasi banjir kilat di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti.

Jelasnya, kerajaan negeri akan melakukan usaha berterusan bagi meminimakan kejadian banjir selain mengurangkan risiko kerugian akibat bencana itu di seluruh Pahang.