Datuk palsu tidak mengaku tipu bekas Speaker DUN Melaka

Shamsubahrin (tiga dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Shamsubahrin (tiga dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan menipu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan kerugian RM95,000 dan menggunakan gelaran datuk palsu dua tahun lalu.

Shamsubahrin Ismail, 57, yang juga pengasas perkhidmatan teksi premium, Big Blue Taxi membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menipu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan memperdayakan beliau supaya mempercayainya untuk mendapatkan kenderaan jenis Toyota Alphard model tahun 2019 berharga RM180,000 dengan nombor pendaftaran khas VVP 7.

Perbuatan itu dengan curang mendorong mangsa menyerahkan kepadanya sebanyak RM95,000 bagi pembelian kenderaan jenis Toyota Alphard model tahun 2019 berharga RM180,000 dan nombor pendaftaran kenderaan khas bernombor VVP7.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai datuk untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Menteri.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 3(1) (a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan yang tidak betul) 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 Enakmen sama.

Tertuduh boleh didenda minimum RM250,000 sehingga RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Aras 2, Blok Laksamana Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada 7 Disember 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Sementara itu tertuduh diwakili peguam, Loh Chon Mee memohon jaminan rendah dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi untuk rawatan kemoterapi akibat kanser kolon dan dialisis.

Malah tertuduh terpaksa menggunakan pendapatan untuk menjelaskan ikat jamin keseluruhan berjumlah RM110,000 bagi empat kes mahkamah di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Februari depan bagi tujuan penyerahan dokumen.