Antara menampar dan mendidik

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

INSIDEN seorang jurulatih pasukan bola tampar remaja menampar dua pemain dalam satu kejohanan pada 16 Disember lalu masih lagi menjadi perdebatan umum.

Walaupun ia berlaku lebih dua minggu lalu, penularan video kejadian itu telah menaikkan kemarahan ramai pihak kerana dianggap tidak sepatutnya dilakukan, apatah lagi terhadap wanita.

Kekasaran fizikal atau pembulian itu disifatkan sebagai tindakan keterlaluan yang mampu memberikan kesan negatif berpanjangan terhadap mangsa.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun misalnya, menegaskan bahawa menampar bukanlah budaya rakyat negara ini dan tindakan itu dilihat sedikit sebanyak telah menjatuhkan kredibiliti jurulatih profesional Malaysia.

Beliau sebaliknya menekankan, jurulatih sukan sewajarnya melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan terkini yang relevan, sekali gus menjadi ruang selamat dan terbaik dalam membangun bakat yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Kejadian itu turut mendapat perhatian seorang jurulatih bola sepak dari Iran, Mehran Rowshan yang melahirkan kebimbangan akan kemungkinan tindakan itu seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam pasukan berkenaan.

Ia berdasarkan reaksi kedua-dua pemain tersebut yang seolah-olah tidak mempunyai apa-apa perasaan apabila diperlakukan sedemikian.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam reaksi balasnya menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi mengenai soal keganasan terhadap pelajar sekolah.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, keutamaan kementerian adalah keselamatan dan kebajikan pelajar tersebut.

Justeru, pihaknya menyediakan sesi kaunseling kepada pelajar berkenaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, selain berjumpa dengan mereka dan keluarga.

Di sebalik kontroversi yang berlaku, bapa kepada salah seorang pemain bola tampar yang ditampar jurulatih itu mengambil pendekatan berbeza iaitu memohon netizen menghentikan segala kecaman terhadap jurulatih berkenaan.

Juruteknik kilang, Abd Halim Bakar, 50, berkata, mungkin ada sedikit kesilapan daripada pihak jurulatih namun mengakui tamparan yang dilakukan tidak mendatangkan kecederaan kepada anaknya, Nur Saidatul Akma Abd Halim, 14.

Malah anaknya dikatakan lebih risau keadaan jurulatih itu kerana telah banyak mengorbankan wang ringgit dan masa untuk memastikan sukan bola tampar terus membangun dan mewakili negeri Melaka.

Dalam menyelesaikan masalah ini, kesemua pihak yang terlibat perlu mengambil kira semua faktor dan kenyataan daripada pihak yang berkenaan agar tiada mana-mana yang teraniaya.

Namun pengajaran penting dalam isu ini adalah menampar bukanlah cara terbaik untuk mendidik, apatah lagi dengan menyakiti insan lain.