Badminton Tertutup Johor 2023 buka tirai

Ariffin Nazri bertekad membuktikan permainannya semakin bertambah baik dalam setiap kejohanan.
Ariffin Nazri bertekad membuktikan permainannya semakin bertambah baik dalam setiap kejohanan.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Johor (JBA) melalui Presiden, Mat Rasid Jahlil mengumumkan penganjuran Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 edisi ke-11 akan berlangsung pada 5 hingga 8 Januari dengan lebih 600 peserta dijangka menghangatkan saingan di DBC Sport Arena, Pontian, Johor.

Kejohanan edisi ke- 11 itu akan mempertandingkan sebanyak lima kategori iaitu bawah 21, bawah 16, bawah 14, bawah 12 dan juga bawah 10 tahun.

Jelas Mat Rasid, kejohanan yang memasuki edisi ke-11 itu akan melibatkan pemain yang berusia di bawah 21 tahun dengan sasaran penganjuran adalah untuk menambah kelompok pemain berbakat dari Johor untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan selain sebagai persiapan menjelang beberapa edisi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“Objektif penganjuran edisi ke-11 ini adalah untuk menambah seberapa ramai lagi pemain berbakat dari negeri Johor serta menyediakan platform terbaik untuk mereka beraksi secara kompetitif. Kejohanan ini juga menjadi pentas buat kami menilai dan memilih pemain untuk mewakili Johor ke peringkat kebangsaan.”

“Untuk edisi kali ini, kami berterima kasih kepada Kelab Badminton Ampang Jaya di atas penajaan hadiah wang tunai RM10,000 selain akan menyediakan ruang bagi para pemain terpilih untuk berlatih bersama-sama kelab tersebut.”

Antara pemain yang akan menjadi tumpuan ialah Dania Sofea yang mengungguli kategori perseorangan perempuan bawah 16 tahun pada edisi ke-10 yang akan beraksi untuk mempertahankan kejuaraan edisi kali ini.

Dania Sofea yang cemerlang di Kejohanan Remaja Asia Bangkok 2022 juga berkata, “Sudah tentu kejohanan seperti ini akan memberikan saingan terbaik kepada saya serta pemain-pemain muda yang lain untuk bersaing secara kompetitif sebagai persiapan untuk mewakili Johor ke peringkat kebangsaan.”

Selain itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki Ariffin Nazri Mohd Zakaria yang ingin menebus kekalahan pada edisi yang lalu kini bertanding dalam kategori bawah 21 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin menunjukkan kemampuan sebenar selepas memenangi kejuaraan bawah 18 tahun peringkat kebangsaan, Ogos lalu.”

“Saya bertekad untuk membuktikan bahawa permainan saya semakin bertambah baik dalam setiap kejohanan yang saya sertai.” kata Ariffin yang dipilih untuk bersaing di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol.

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 turut mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor, YOUNG-International, dan DBC Sport Arena. Saingan tersebut akan berlangsung dari 5 hingga 8 Januari di DBC Sport Arena, Pontian, Johor.