Penduduk China kembali 'bebas'

Orang ramai mengunjungi sebuah pasar di Qingdao di wilayah Shandong. - Foto AFP
Orang ramai mengunjungi sebuah pasar di Qingdao di wilayah Shandong. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Sebahagian besar penduduk di bandar utama Beijing, Shanghai dan Wuhan menjalani aktiviti harian seperti biasa walaupun sedang berdepan lonjakan luar biasa kes jangkitan Covid-19.

Negara berpopulasi 1.4 bilion penduduk itu kini memasuki fasa untuk belajar hidup dengan Covid-19 ketika kebanyakan negara antarabangsa mula bimbang jika gelombang jangkitan yang sedang melanda Beijing semakin teruk menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Sekatan ketat sebelum ini telah menyukarkan kehidupan seluruh penduduk. Kini kami dapat menarik nafas lega setelah pemerintah melonggarkan dasar sifar Covid-19.

“Kami tidak lagi perlu mengimbas kod kesihatan dan kod perjalanan. Akhirnya kami sudah bebas,” kata penduduk yang hanya dikenali sebagai Yang.

Seorang penuntut kolej, Zhong, 22, turut berkongsi pengalamannya ketika ‘dikurung’ selama tiga minggu kerana positif Covid-19.

“Kini saya boleh keluar dan menikmati waktu bercuti seperti biasa. Saya mahu berkunjung ke sekitar Beijing untuk merasai semula suasana ketika musim perayaan,” ujarnya.

Kebanyakan penduduk kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa. - Foto AFP
Kebanyakan penduduk kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa. - Foto AFP

Lalu-lintas di kebanyakan jalan utama juga kembali sesak selepas orang ramai kembali melakukan aktiviti luar dan beriadah, namun operasi beberapa perniagaan di tempat tertutup seperti restoran didakwa masih ‘perlahan’.

Artikel Berkaitan:

“Operasi di tempat kerja, pusat hiburan dan aktiviti sosial kembali pada tahap normal. Individu yang positif Covid-19 tidak lagi cemas,” jelas Wu yang menetap di bandar Wuhan, yang menjadi pusat penularan wabak itu tiga tahun lalu.

Perayaan Tahun Baharu Cina bakal disambut pada 21 Januari ini dan perkhidmatan kereta api dijangka membawa sehingga 5.5 juta penumpang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sejak beberapa hari lalu, media tempatan cuba meredakan kebimbangan orang ramai dengan menyatakan wabak berkenaan terkawal dan sudah menghampiri kemuncak.

Pada minggu lalu, data firma kesihatan, Airfinity berpusat di Britain mendakwa kira-kira 9,000 penduduk di China menjadi korban Covid-19 setiap hari.

Airfinity menjangkakan gelombang jangkitan itu akan mencapai kemuncak pertama pada 13 Januari ini dengan mencecah 3.7 juta kes jangkitan harian.

Tambahnya lagi, jumlah kumulatif kematian di negara itu sejak 1 Disember lalu mungkin mencecah 100,000 kes dengan kadar jangkitan 18.6 juta.

Langkah melonggarkan sekatan Covid-19 telah memberi tekanan kepada sistem jagaan kesihatan dan krematorium di seluruh negara. - Agensi