Pemasangan jeriji kekal tidak digalakkan - Bomba

Bomba menunjukkan reka bentuk jeriji besi yang lebih selamat untuk diguna ketika berlaku kecemasan. Gambar kecil: Norazam
Bomba menunjukkan reka bentuk jeriji besi yang lebih selamat untuk diguna ketika berlaku kecemasan. Gambar kecil: Norazam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemasangan jeriji kekal di kediaman adalah tidak digalakkan kerana merisikokan dan menghalang penghuni menyelamatkan diri ketika berlaku kecemasan.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, dari segi aspek keselamatan kebakaran, penggunaan jeriji yang selamat adalah jeriji yang boleh dibuka dari dalam.

"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ada menghasilkan reka bentuk jeriji yang boleh dibuka dari dalam jika berlakunya kecemasan seperti kebakaran.

"Jika ada pemilik kediaman yang ingin memasang jeriji, bolehlah merujuk kepada kami (bomba) untuk mendapatkan 'design' jeriji yang boleh dibuka dari dalam," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Norazam berkata, beberapa kes kematian yang berlaku berpunca daripada jeriji besi yang tidak boleh dibuka selain keperluan memotong jeriji adalah amat rumit bagi menyelamat mangsa terperangkap.

Katanya, bagi kediaman rumah, pihak bomba menyarankan pemasangan jeriji boleh buka dari dalam, sekurangnya untuk setiap satu bahagian di dalam rumah.

Reka bentuk jeriji besi yang lebih selamat untuk diguna ketika berlaku kecemasan.
Reka bentuk jeriji besi yang lebih selamat untuk diguna ketika berlaku kecemasan.

Tambah beliau, pemasangan jeriji dalam premis perlulah mempunyai kaedah buka yang mudah dari bahagian dalam ketika kecemasan. Jika terdapat keperluan kunci, perlu dipastikan ia mudah untuk dibuka termasuklah oleh kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Jeriji ini juga perlu dipasang di bahagian yang sesuai contohnya laluan selamat ke anjung bilik, koridor atau anjung kediaman jiran," ujarnya.

Mengulas mengenai statistik jumlah kes di Selangor, Norazam berkata, pada tahun lalu, kes kebakaran bangunan kedai dan rumah merekodkan 782 kes dengan tujuh kematian.

Ujarnya, antara punca kebakaran yang disebabkan oleh elektrik adalah litar pintas akibat dari retakan penebat kabel, lebihan beban aliran kuasa, pemanasan setempat pada terminal disebabkan sambungan yang longgar selain pemasangan yang salah iaitu dari segi penggunaan saiz wayar dan fius.

"Statistik menunjukkan 75 peratus punca kebakaran adalah berpunca daripada elektrik. Oleh itu, penyelenggaraan atau pun pencegahan hendaklah dilaksanakan segera," jelasnya.

Pada Isnin, dua beradik maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang, Gombak.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemui rentung dalam kejadian itu.

Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.