Bas hilang kawalan punca kemalangan - Polis

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Noor Ariffin
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Noor Ariffin
A
A
A

GOMBAK – Sebuah bas ekspres yang hilang kawalan semasa berada di lorong kanan sebelum melintang di tengah lebuh raya dipercyai punca kemalangan yang menyebabkan penumpangnya maut dirempuh lori di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.45 pagi, manakala siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan berlaku sekitar jam 5.45 pagi.

"Kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu bas yang sedang bergerak di lorong kanan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan bas berkenaan melintang di tengah lebuh raya.

“Akibat daripada keadaan itu, sebuah lori bonded dan sebuah motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri bas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh, manakala pemandu lori, penunggang motosikal serta tujuh penumpang bas lain mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital yang sama.

"Pemandu bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim binti Abu Bakar di talian 019-331 1552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai berkenaan, dengan jentera tiba pada jam 5.51 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, terdapat lima mangsa tersepit, membabitkan empat penumpang bas dan seorang pemandu lori.

Artikel Berkaitan:

Bas berkenaan membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dalam keadaan selamat pada jam 6.33 pagi.

Ringkasan AI

  • Bas ekspres berkenaan hilang kawalan dan melintang di tengah lebuh raya menyebabkan kemalangan
  • Seorang penumpang bas disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh
  • Pemandu lori, penunggang motosikal dan tujuh penumpang bas lain mengalami kecederaan parah
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Sejumlah 38 penumpang berjaya keluar dalam keadaan selamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!